HAKIM Danish Mahu Teruskan Rentak Positif Di Portimao
Hakim Danish yang juga pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets MSi bakal mengharungi aksi di Portimao dengan motivasi tinggi, berbekalkan pengalaman luas di litar berkenaan serta keputusan positif meraih tempat ke-7 di GP Qatar 2 minggu lalu
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
11/17/20261 min read


PELUMBA Moto3 negara, Hakim Danish Ramli mahu tampil agresif seawal sesi latihan bebas pertama (FP1) bagi memastikan dirinya mampu memberi saingan sengit pada Grand Prix (GP) Portugal di Litar Antarabangsa Algarve, Portimao hujung minggu ini.
Pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets MSi itu bakal mengharungi 2 pusingan terakhir musim 2026 dengan motivasi tinggi, berbekalkan pengalaman luas di litar berkenaan serta keputusan positif meraih tempat ke-7 di GP Qatar 2 minggu lalu.
Tambahan 9 mata berharga dari Litar Antarabangsa Lusail itu menyaksikan pelumba kelahiran Terengganu berkenaan kini mengumpul keseluruhan 125 mata untuk kukuh menghuni tangga ke-8 dalam carta kejuaraan Moto3 dunia.
Mengulas mengenai aksinya di Portimao, pelumba muda kelahiran Terengganu itu mengakui bersedia memanfaatkan segala pengalaman yang dimilikinya selain terus mengekalkan pendekatan perlumbaan yang digunakannya sebelum ini.
"Saya pernah berlumba di litar ini pada tahun lalu dan ada beberapa aspek daripada pengalaman itu yang boleh diperbaiki serta dimanfaatkan untuk perlumbaan kali ini.
"Saya sangat teruja untuk memulakan cabaran di Portimao, terutama apabila musim ini kini menghampiri dua pusingan terakhir. Saya mahu memberikan aksi terbaik dengan mengekalkan pendekatan sama seperti perlumbaan sebelum ini.
"Fokus saya adalah untuk mendapatkan permulaan terbaik sejak sesi latihan bebas pertama (FP1) dan terus memberikan saingan dalam setiap sesi,” katanya.
Sebagai rekod, Litar Antarabangsa Algarve menyimpan memori manis buat Hakim Danish apabila beliau pernah melakar kejutan menaiki podium tempat ke-3 dalam saingan Red Bull MotoGP Rookies Cup pada 2023, selain membuka akaun mata sulungnya dalam Kejuaraan Dunia Moto3 selepas menamatkan GP Portugal musim lalu di tempat ke-12.

