HAKIM Danish Mampu Raih Mata Di GP Malaysia - Razlan
Razlan yang juga bekas CEO SIC percaya Zulfahmi Khairuddin selaku pengurus dan mentor Hakim Danish sudah merangka persiapan rapi untuk pelumbanya itu untuk mengharungi GP Malaysia 2025
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/14/20251 min read


PELUMBA muda negara, Hakim Danish Ramli diyakini mampu menamatkan perlumbaan Moto3 yang disertai secara wildcard di Grand Prix (GP) Malaysia 2025 dalam kelompok pungutan mata.
Keyakinan itu disuarakan bekas Prinsipal pasukan MotoGP negara, PETRONAS Yamaha STR dan RNF Aprilia, Datuk Razlan Razali yang melihat potensi dimiliki pelumba muda itu yang dilihat semakin menyerlah selepas menamatkan saingan Red Bull Rookies Cup musim ini di tempat ketiga.
“Danish sudah mula menguji jentera Moto3 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), dan itu satu perkembangan positif. Masih ada masa untuk dia terus melakukan ujian sebelum hujung minggu perlumbaan,” kata Razlan yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif SIC.
“Ketika saya di SIC, kami sentiasa pastikan pelumba wildcard diberi peluang melakukan beberapa sesi ujian sebelum perlumbaan.
"Ini penting kerana tidak adil mengharapkan pelumba terus laju sebaik menaiki jentera pada hari Jumaat, walaupun berlumba di laman sendiri," kata Razlan.
Razlan juga percaya Zulfahmi Khairuddin selaku pengurus dan mentor Hakim Danish sudah merangka persiapan rapi untuk pelumbanya itu.
Dan katanya, dengan sokongan padu daripada ‘gear ketujuh’ iaitu peminat sukan permotoran tempatan yang hadir ke SIC, dia yakin kedudukan dalam kelompok 15 terbaik adalah dalam jangkauan.
"Sekurang-kurangnya satu mata boleh diraih,” katanya.
