HAKIM Danish Mula Aksi RBMRC Di Misano Di Petak Ke-11

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/7/20241 min read

PELUMBA muda negara, Hakim Danish Ramli tampak seperti begelut apabila menamatkan sesi kelayakan saingan penutup tirai kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) 2024 di Misano, Itali dengan catatan ke-11 terbaik.

Tiba di Misano dengan semangat tinggi susulan kemenangannya di Aragon, keputusan itu menyaksikan pelumba kelahiran Terengganu itu akan memulakan perlumbaan pusingan penutup tirai RBMRC musim ini di barisan keempat.

Seperti diketahui, pelumba berusia 17 tahun itu memerlukan keajaiban di Misano untuk meraih kedudukan tiga terbaik dalam kempen RBMRC musim ini - keputusan yang memberikan peluang untuk beraksi di pentas Moto3 Kejuaraan Motosikal Dunia musim depan.

Ketika ini, Hakim Danish secara matematik masih berpeluang untuk memburu kedudukan tiga terbaik di kejuaraan itu

Begitupun, petak ke-11 di grid perlumbaan itu jelas bukan sesuatu yang diingini lebih-lebih lagi petak utama menjadi milik pelumba yang menghuni tangga ketiga keseluruhan ketika ini, Valentin Perrone.

Penduhulu kejuaraan, Alvaro Carpe meraih petak kedua dan Brian Uriarte melengkapkan barisan depan.

Hakim Danish yang ketika ini menghuni tangga keenam keseluruhan carta pelumba sebelum ini meletakkan sasaran memburu kedudukan podium pada kedua-dua perlumbaan ditawarkan di Itali.

Sebagai rekod, Hakim Danish ketika ini ketinggalan 47 mata di belakang Perrone dan perlu melakukan keajaiban iaitu menang kedua-dua perlumbaan di Misano sambil berharap rakan sepelatihnya itu tidak mengutip sebarang mata.

Berdasarkan peraturan Moto3 di Kejuaraan Motosikal Dunia, Hakim Danish masih belum layak untuk beraksi di kejuaraan itu musim depan berdasarkan kepada had umur namun pelumba yang menamatkan kempen RBMRC 2024 di kedudukan tiga teratas mendapat pengecualian.