HAKIM Danish Mula GP Aragon Dari Petak Ke-13

Hakim Danish yang beraksi bersama pasukan AEON Credit MT Helmets-MSi melakukan catatan terbaik 1 minit 57.052 saat (s), ketinggalan 0.705s daripada pelumba terpantas, David Almansa (Liqui Moly Dynavolt Intact GP) yang melakukan 1:56.347s

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/29/20261 min read

PELUMBA Moto3 negara, Hakim Danish Ramli menamatkan sesi Kelayakan 2 (Q2) Grand Prix (GP) Aragon 2026 dengan catatan ke-13 terpantas sekali gus akan memulakan perlumbaan di Litar MotorLand Aragon dari barisan ke-5.

Pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets-MSi itu melakukan catatan terbaik 1 minit 57.052 saat (s), ketinggalan 0.705s daripada pelumba terpantas, David Almansa (Liqui Moly Dynavolt Intact GP) yang melakukan 1:56.347s.

Marco Morelli dari pasukan CFMoto Aspar meraih petak ke-2 dengan catatan 1:56.380s manakala rakan sepasukannya yang juga pendahulu kejuaraan, Maximo Quiles melengkapkan barisan depan dengan catatan 1:56.390s.

Hakim Danish sebelum ini berjaya mara ke Q2 secara terus selepas melakukan catatan ke-14 terpantas pada sesi Latihan.

Sebagai rekod, pelumba kelahiran Terengganu itu menghuni tangga ke-8 dalam kedudukan carta keseluruhan dengan mengumpul 86 mata selepas 12 pusingan.

Dalam persaingan merebut gelaran 'Rookie of the Year', Hakim Danish mengisi tangga ke-3 di belakang pelumba Indonesia, Veda Ega Pratama dan Brian Uriarte.

Pada pusingan ke-12 di Silverstone, pelumba berusia 19 tahun itu tidak menambah sebarang mata susulan kemalangan.