HAKIM Danish Mula Kempen Moto3 2026 Dengan Langkah Kiri, p18 Di Buriram

Beraksi bersama pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI, Hakim Danish memulakan perlumbaan dari petak ke-15, namun tidak berjaya mengekalkan momentum kelajuan untuk terus bersaing di dalam kelompok pendahulu

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/1/20261 min read

PELUMBA Moto3 negara, Hakim Danish Ramli mengharungi permulaan kempen yang agak mengecewakan hari ini apabila menamatkan perlumbaan Moto3 Grand Prix (GP) Thailand 2026 di kedudukan ke-18 selepas bergelut menjinakkan jentera KTM miliknya.

Beraksi bersama pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI, pelumba muda berbakat itu memulakan perlumbaan pembuka tirai musim ini di Litar Buriram dari petak ke-15, namun dia tidak berjaya mengekalkan momentum kelajuan untuk terus bersaing di dalam kelompok pendahulu.

Perlumbaan dimenangi pelumba pasukan Liqui Moly Dynavolt Intact GP, David Almansa diikuti pelumba CFMoto Aspar, Max Quiles manakala pelumba Argentina, Valentin Perrone (Red Bull KTM Tech3) melengkapkan kedudukan podium.

Cabaran pelumba kelahiran 18 tahun itu di Buriram sebenarnya sudah bermula sejak sesi pembukaan pada Jumaat apabila dia mengalami masalah cengkaman bahagian hadapan jenteranya yang menyebabkannya nyaris beberapa kali terjatuh.

Selepas terlepas slot terus ke Kelayakan 2 (Q2), Hakim Danish bangkit apabila menguasai sesi Kelayakan 1 (Q1) yang membawanya ke Q2. Tetapi catatan terbaiknya pada sesi itu hanya meletakkannya di petak ke-15 di grid perlumbaan.

Sebagai info, persiapan pramusim pelumba kelahiran Terengganu itu awal bulan ini turut tidak berjalan lancar.

Sesi ujian di Litar Portimao, Portugal terjejas akibat hujan, manakala ujian di Jerez, Sepanyol pula menyaksikan Hakim terbabit dalam satu kemalangan agak teruk apabila dia dan jenteranya merempuh penghadang litar.

Meskipun tidak mengalami sebarang kecederaan serius, kemalangan itu memaksa mekanik pasukannya bertungkus-lumus membaiki kerosakan jentera, sekali gus mengehadkan masa tunggangan buat Hakim menjelang aksi sebenar musim baharu.

Fokus Hakim Danish kini beralih ke pusingan kedua yang dijadual berlangsung di Autodrom Antarabangsa Ayrton Senna di Brazil dari 20 hingga 22 Mac ini.