HAKIM Danish Mulakan GP Malaysia 2025 Di Petak Ke-14
Keputusan itu menyaksikan Hakim Danish yang beraksi bersama pasukan AEON Credit SIC Racing MSI menerusi tiket wildcard untuk memulakan perlumbaan di barisan kelima, esok
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/25/20251 min read


KEAJAIBAN yang diharapkan terhadap pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli ketika sesi Kelayakan 2 Moto3 Grand Prix (GP) Malaysia 2025 tak menjadi kenyataan selepas pelumba yang beraksi secara wildcard itu menamatkan sesi dengan catatan ke-14 terbaik, hari ini.
Keputusan itu menyaksikan pelumba berusia 18 tahun itu yang beraksi bersama pasukan AEON Credit SIC Racing MSI untuk memulakan perlumbaan di barisan kelima, esok.
Selepas mencatat keputusan pada sesi Latihan Bebas 2 pada sebelah pagi, pelumba kelahiran Terengganu itu melakukan catatan 2 minit 11.487 saat (s) ketika kelayakan.
Catatan itu begitu ketinggalan 1.641s di belakang pelumba Leopard Racing, David Almansa yang menungguli sesi kelayakan.
Pelumba Jepun Taiyo Furusato dari pasukan Honda Team Asia menyambar petak kedua dengan catatan terpantas 2:09.94s manakala juara dunia, Jose Antonio Rueda (Red Bull KTM Ajo) meraih petak ketiga dengan catatan 2:10.07s.
Apa yang menarik, pencabar utama Hakim Danish dalam kempen Red Bull Cup Rookies dan JuniorGP, Brian Uriarte meraih petak kelima.
Ini adalah penampilan kedua Uriarte yang turut sah beraksi secara sepenuh musim dalam kempen Moto3 musim depan di Kejuaraan Dunia bagi menggantikan David Munoz bersama pasukan LIQUI MOLY Dynavolt Intact GP.
Pada penampilan pertama di GP Australia minggu lalu, pelumba kelahiran Sepanyol itu menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-19.

