HAKIM Danish Mulakan Perlumbaan Penutup Tirai JrGP Dari Barisan Ke-3

Selepas bergelut pada hari pertama semalam, Hakim Danish merekodkan masa terbaik 1 minit 37.842 saat pada sesi Q2 namun ia 1.796s lebih perlahan berbanding pelumba Argentina, Marco Morelli, yang menguasai petak utama

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/22/20251 min read

PELUMBA negara, Hakim Danish Ramli akan memulakan perlumbaan penutup musim Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP (JrGP) 2025 dari barisan ketiga selepas mencatat masa kesembilan terpantas pada sesi Kelayakan 2 (Q2) di Litar Ricardo Tormo, Valencia, Sepanyol, hari ini.

Pelumba berusia 18 tahun dari Terengganu itu merekodkan masa terbaik 1 minit 37.842 saat pada sesi berkenaan, namun ia 1.796s lebih perlahan berbanding pelumba Argentina, Marco Morelli, yang menguasai petak utama.

Sebagai rekod, Morelli mencatatkan masa terpantas 1m 36.046s. Pelumba Sepanyol, Jesus Rios meraih petak kedua manakala juara keseluruhan JrGP musim ini, Brian Uriarte melengkapkan barisan depan.

Selepas bergelut pada hari pertama, Hakim kembali menyerlah dengan catatan masa ketiga terpantas pada sesi latihan pagi tadi.

Prestasi itu membolehkannya layak terus ke Q2 tanpa perlu melalui Q1, pencapaian yang meningkatkan keyakinannya menjelang saingan Pusingan 7 JrGP musim ini yang juga saingan penutup tirai musim 2025.

Momentum positif itu juga hadir selepas aksi positifnya di pentas Kejuaraan Motosikal Dunia. Pada pusingan terakhir Moto3 juga di Valencia, Hakim yang diberi peluang sebagai pelumba gantian kepada Ryusei Yamanaka bersama pasukan MT Helmets-MSI berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-14, sekali gus meraih dua mata berharga.

Seperti diketahui, Hakim Danish turut menamatkan saingan Red Bull MotoGP Rookies Cup di tempat ketiga keseluruhan musim ini dan lebih menarik, dia turut sah akan beraksi sepenuh masa dalam Kejuaraan Motosikal Dunia kelas Moto3 bersama pasukan MT Helmets-MSI pada musim depan.