HAKIM Danish Nafi Isu Jentera Jejas Prestasi

Dalam saingan RBMRC, Hakim Danish masih gah memimpin kejuaraan berbaki dua pusingan namun hanya memiliki kelebihan 13 mata di depan pencabar terdekatnya, Brian Uriarte dan di JrGP, dia menghuni kedudukan ke-7

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/5/20251 min read

HAKIM Danish Ramli menafikan prestasinya yang tampak sedikit merosot dalam saingan Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) dan Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP (JrGP) pada musim ini berpunca daripada masalah jentera atau kekurangan sokongan pasukan.

Sebaliknya, pelumba berusia 18 tahun itu menegaskan apa yang dihadapinya adalah berkaitan prestasi dirinya sendiri sebagai pelumba, dan tidak membabitkan isu teknikal, jentera tidak kompetitif atau apa saja yang diperkatakan segelintir pihak termasuk peminat.

"Untuk Red Bull Rookies Cup, tiada isu membabitkan jentera. Semuanya bergantung kepada pelumba. Memang ada sedikit perubahan yang boleh dibuat seperti penggunaan sproket.

"Tetapi apa yang pasti, setiap perlumbaan saya akan beri 100 peratus, namun ada masanya saya tak dapat habiskan perlumbaan dalam kedudukan yang baik,” kata pelumba kelahiran Terengganu itu ketika ditemui, baru-baru ini.

"Saya akan cuba perbaiki, saya kaji balik setiap perlumbaan dan fokus untuk tampil lebih baik di perlumbaan seterusnya."

Mengulas lanjut mengenai cabaran dalam JrGP pula, Hakim Danish mengakui saingan lebih sengit kerana setiap pasukan mendapat sokongan yang berbeza sekalipun dengan kemampuan jentera yang sama.

Justeru, ia bukan saja membabitkan persediaan teknikal setiap pasukan, tetapi tetap bergantung kepada kualiti pengendalian pelumba.

“Di JuniorGP, jentera yang digunakan boleh dikatakan sama sekali pun ada pengeluar berlainan dengan pelarasan ikut pasukan masing-masing. Dari sudut persaingan, ia memang mencabar sebab ramai pelumba berbakat di kejuaraan ini.

"Apapun, ada banyak peningkatan yang saya dapat di JrGP berbanding musim lalu. Setiap perlumbaan, saya cuba kekal konsisten dan terus belajar," katanya.

Dalam saingan RBMRC, Hakim Danish masih gah memimpin kejuaraan berbaki dua pusingan namun hanya memiliki kelebihan 13 mata di depan pencabar terdekatnya, Brian Uriarte dari Sepanyol dengan pusingan seterusnya akan berlangsung di Red Bull Ring pada 16 dan 17 Ogos ini.

Di JrGP, dia yang berlumba bersama pasukan SIC Racing-MSi menghuni tangga ke-7 keseluruhan selepas mengumpul 51 mata dengan kejuaraan berbaki 3 pusingan di Misano, Itali, Barcelona dan Jerez, Sepanyol.