HAKIM Danish p10 Moto3 GP Brazil
Keputusan perlumbaan Moto3 GP Brazil membolehkah Hakim Danish yang bermula di petak ke-3, kedudukan grid terbaik kariernya setakat ini meraih enam mata kejuaraan berharga
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
3/22/20261 min read


PELUMBA Moto3 negara, Hakim Danish Ramli merangkul keputusan terbaiknya di Kejuaraan Motosikal Dunia pada musim ini selepas menamatkan Perlumbaan Grand Prix (GP) Brazil 2026 yang berlangsung penuh drama di tempat ke-10.
Bermula di petak ke-3, kedudukan grid terbaik kariernya setakat ini, pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets-MSi itu bermula garang pada aksi di Litar Aryton Senna, Goiania malah pada satu ketika berada di kedudukan ke-2.
Begitupun, persaingan sengit memaksa kedudukan saling bertukar sebelum beberapa siri kemalangan menyaksikan bendera merah dikibarkan selepas 15 pusingan perlumbaan berlangsung.
Dan selepas perlumbaan dimulakan semula dengan hanya lima pusingan, pelumba berusia 18 tahun itu melepasi garisan penamat di tempat ke-10, pencapaian terbaiknya dalam kempen Moto3 musim ini.
Ia jauh lebih baik berbanding pada pusingan 1 di Thailand dengan keputusan memberikan Hakim Danish enam mata kejuaraan berharga sekali gus turut menamatkan kemarau mata buat pasukannya pada musim ini dengan rakan sepasukannya, Ryusei Yamanaka turut mengakhiri perlumbaan di tempat ke-14.
Pasukan CFMoto Aspar Racing, mencuri perhatian dengan meraih keputusan 1,2 diketuai pelumba Sepanyol, Maximo Quiles diikuti pelumba Argantina, Marco Morelli.
Dan pelumba Indonesia, Veda Eda Pratama mencipta sejarah apabila muncul pelumba pertama negaranya menaiki podium Grand Prix dalam mana-mana kelas selepas menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.
Seperti Hakim Danish, Veda yang beraksi bersama pasukan Honda Team Asia juga adalah 'rookie' Moto3 pada musim ini.

