HAKIM Danish P2 Lagi Di RBMRC Aragon

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/7/20251 min read

PELUMBA muda berbakat negara, Hakim Danish sekali lagi dikecewakan di garisan penamat untuk muncul sebagai naib juara Perlumbaan 1 Pusingan 3 Red Bull MotoGP Rookies Cup 2025 di Aragon, Sepanyol, hari ini.

Memulakan perlumbaan di petak ke-6, pelumba berusia 17 tahun itu berjaya menempatkan diri dalam kelompok depan yang diisi 5 pelumba diketuai pelumba Indonesia, Vega Eda Pratama yang memulakan perlumbaan di petak utama.

Selepas berhempas pulas cuba mengekalkan kedudukan pendahulu, pelumba negara jiran itu akhirnya dipintas ketika perlumbaan berbaki enam pusingan.

Situasi itu menyaksikan kedudukan pendahulu beberapa kali bertukar tangan termasuk daripada Hakim Danish.

Enggan menamatkan perlumbaan sebagai naib juara sekali lagi, pelumba kelahiran Terengganu itu mengorak langkah pada pusingan terakhir apabila merampas semula kedudukan pendahulu.

Dan sekali pun berjaya mengekalkan kedudukan itu sehingga selekoh terakhir, Hakim Danish begitupun dipintas pencabar utamanya, Brian Uriate di garisan penamat.

"Akhirnya kali mendapat tempat ke-2 sekali lagi. Saya amat gembira dengan kedudukan kedua ini kerana ia amat penting.

"Saya amat menikmati perlumbaan kali ini kerana dapat bersaing dengan pelumba-pelumba di depan. Saya cuba bertenang dan saya akan mencubanya sekali lagi (untuk menang). Harap saya berjaya melakukannya esok.

"Terima kasih kepada staf RBMRC, penaja-penaja saya, ZK Racing, SIC, RCB, Terengganu Inc, keluarga saya dan juga semua yang menyokong saya."

Melengkapkan kedudukan podium di Aragon adalah pelumba Sepanyol, Daniel Gonzalez manakala Veda Pratama di tempat ke-4.

Keputusan turut menyaksikan Hakim Danish menamatkan kelima-lima perlumbaan RBMRC yang sudah ditawarkan tahun ini sebagai naib juara dan memimpin carta kejuaraan dengan mengumpul keseluruhan 100 mata.

Uriarte di tangga kedua dengan 75 mata.