HAKIM Danish Pastikan Jalur Gemilang Berkibar Di Jerez

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/28/20241 min read

HAKIM Danish Ramli bukan saja mengotakan janjinya untuk mengisi pentas podium di Pusingan 1 Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) 2024 di Jerez, Sepanyol malah hanya dibezakan 0.006 saat untuk bergelar juara.

Pada Perlumbaan 2 yang berlangsung, sebentar tadi, pelumba kelahiran Terengganu itu terpaksa berpuas hati menamatkan aksi di kedudukan kedua yang menyaksikan keputusan terpaksa ditentukan menerusi 'photo finish'.

Kemenangan menjadi milik pelumba tuan rumah, Alvaro Carpe sekalipun Hakim Danish melepasi selekoh terakhir sebagai pendahulu sebelum dipintas di saat akhir.

Seorang lagi pelumba tuan rumah, Brian Uriate melengkapkan kedudukan podium.

Memulakan perlumbaan di petak ketiga, Hakim Danish yang berusia 16 tahun tampak lebih bersedia dengan meletakkan dirinya di kelompok depan perlumbaan.

Dan selepas beberapa kali posisi pendahulu bertukar tangan sepanjang perlumbaan yang membabitkan enam pelumba, kemenangan akhirnya berpihak kepada Carpe.

Sebagai info, Hakim Danish melakukan sedikit kesilapan pada Perlumbaan 1, semalam yang menyaksikannya terjatuh dan menamatkan aksi di kedudukan ke-8 sebelum jatuh ke kedudukan ke-9 susulan penalti.

Pusingan 2 RBMRC 2024 dijadual berlangsung di Le Mans, Perancis pada 11 dan 12 Mei depan.