HAKIM Danish Pastikan Jalur Gemilang Dipaparkan Pada Podium Le Mans
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
5/10/20251 min read


PELUMBA muda negara, Hakim Danish Ramli tampil dengan persembahan mengujakan di Le Mans, Perancis sebelum terpaksa menamatkan Perlumbaan 1 Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) 2025, hari ini sebagai naib juara.
Sekalipun memulakan perlumbaan di petak utama, pelumba berusia 17 tahun itu berdepan kesukaran apabila dikenakan penalti 'long lap'. Tetapi penalti itu yang disebabkan oleh insiden ketika sesi kelayakan berjaya dilaksanakan dengan sempurna.
Malah, pelumba kelahiran Terengganu itu berjaya kembali memimpin perlumbaan ketika berbaki lapan pusingan selepas turun beberapa posisi susulan penalti yang diambilnya.
Tetapi, susulan kesilapan ketika berbaki enam pusingan, ia memberi peluang kepada pelumba dari Sepanyol, Brian Uriarte untuk merampas kedudukan pendahulu.
Lebih mengecewakan, perlumbaan kemudian terpaksa dihentikan lebih awal apabila bendera merah dikibarkan akibat kemalangan di litar.
Situasi itu mengakibatkan semua pelumba kembali ke grid sebelum penganjur mengumumkan perlumbaan tidak disambung semula.
Dan meputusan itu menyaksikan Hakim Danish yang sebelum bendera merah dikibarkan berada di tempat kedua terpaksa berpuas hati sebagai naib juara dengan Uriarte dinamakan sebagai pemenang.
Pelumba Itali, Giulio Pugliese pula melengkapkan kedudukan podium.
"Saya sekali lagi menamatkan perlumbaan di tempat kedua. Saya rasa selesa dengan jentera dan sekali pun menjalani 'long lap' tetapi tidak mengapa," kata Hakim Danish.
"Saya akan cuba lebih baik lagi esok. Doakan saya," katanya.
Pada Pusingan 1 RBMRC di Jerez, Sepanyol, dua minggu lalu, Hakim Danish turut menamatkan kedua-dua perlumbaan di atas podium sebagai naib juara.
