HAKIM Danish Percaya Prestasi Terus Meningkat, Masalah Jentera Rencat Danial Syahmi
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/24/20241 min read


HAKIM Danish Ramli percaya prestasinya terus meningkat pada aksi Pusingan 4 Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP (JrGP) 2024 di Portimao, Portugal yang menyaksikannya membawa pulang 12 mata berharga.
Pada Perlumbaan 1, pelumba pasukan SIC Racing-Msi itu menamatkan aksi di tangga ke-9 sebelum menamatkan Perlumbaan 2 di kedudukan ke-11.
Mengulas prestasinya di Portugal, pelumba kelahiran Terengganu itu mengakui kualiti tunggangannya meningkat dari hari ke hari berdasarkan catatan masa yang dibuat.
"Secara keseluruhan, saya bertambah baik daru hari ke hari dari segi cara tunggangan dan catatan masa," katanya yang menunggang jentera KTM.
Begitupun pada Perlumbaan 2, Hakim Danish mengakui dia mengharungi permulaan kurang baik dan cuba sebaik mungkin untuk mengejar kelompok hadapan namun tidak kesampaian.
"Malangnya, jurang di antara kelompok depan sudah terlalu jauh dan kelajuan mereka agak laju. Pada penghujung perlumbaan, saya juga melakukan sedikit kesilapan dengan terlajak kerana saya hampir melanggar pelumba lain sebelum berjaya mengejarnya kembali," kata Hakim Danish yang kekal di kedudukan ke-12 carta pungutan mata dengan mengumpul 35 mata.
Sementara itu, seorang lagi pelumba negara, Danial Syahmi yang beraksi bersama pasukan Junior Talent Team mengakui masalah jentera merencatkan prestasinya di Portugal.
Dan keputusan di Portimao menyaksikan buat pertama kali pelumba kelahiran Pulau Pinang yang menggunakan jentera Honda itu tidak berjaya mengutip sebarang mata kejuaraan.
Bermula di petak ke-24, Danial Syahmi berjaya melonjak ke kedudukan ke-14 pada satu ketika sebelum diganggu masalah mekanikal membabitkan enjin yang membuatkannya hampir melanggar dinding sebelum terjun daripada jenteranya.
"Minggu ini rasa sangat bergelut dengan cuaca yang panas, tunggangan dan juga jentera saya. Saya tidak dapat kumpul sebarang mata pada pusingan ini dan saya sangat kecewa dengan keputusan saya. Pada pusingan seterusnya saya akan bangkit dan beri saingan yang lebih lagi," " kata Danial Syahmi yang kedudukannya jatuh ke tangga ke-17 keseluruhan dengan mengumpul 20 mata.
Sebagai info, kempen JrGP 2024 akan berehat panjang selepas ini dengan Pusingan 5 yang dijadual berlangsung di Jerez, Sepanyol akan berlangsung daripada 13 hingga 15 September depan.
