HAKIM Danish Perlu Terus Disokong - Azuan
Meskipun nasib tidak menyebelahi pelumba berusia 18 tahun itu pada penampilan sulung di Kejuaraan Motosikal Dunia, jika diperhatikan secara menyeluruh, Hakim Danish sudah membuktikan kemampuannya untuk bersaing di pentas dunia
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/29/20252 min read


PELUMBA muda berbakat negara, Hakim Danish Ramli memerlukan sokongan berterusan, khususnya membabitkan kewangan bagi memastikan pembangunan kariernya dalam Kejuaraan Motosikal Dunia tidak tersekat di tengah jalan.
Pengarah Urusan Mitratech Asia, salah satu penaja pasukan AEON Credit SIC Racing Team MSI, pasukan yang dipacu Hakim Danish pada penampilan secara wildcard Moto3 di Grand Prix (GP) Malaysia 2025, Mohd Azuan Izadee Md Nordin, menegaskan bahawa prestasi yang ditampilkan oleh Hakim Danish sepanjang minggu perlumbaan Sepang bukti jelas potensi dimiliki pelumba itu.
Meskipun nasib tidak menyebelahi pelumba berusia 18 tahun itu pada penampilan sulung di Kejuaraan Motosikal Dunia, Hakim Danish dikatakan sudah membuktikan kemampuannya untuk bersaing di pentas dunia.
"Semua sedia maklum bahawa kos untuk bersaing dalam sukan permotoran adalah sangat tinggi. Namun, dengan nilai dan kualiti yang ada pada Hakim Danish serta pasukan MSI, setiap bantuan dan sokongan yang dihulurkan sudah pasti akan membantu membawa nama Hakim Danish dan Malaysia pergi lebih jauh di mata dunia," kata Azuan.
Aksi kompetitif yang dipamerkan oleh pelumba berusia 18 tahun itu sepanjang minggu perlumbaan menjadi isyarat bahawa dia sudah bersedia untuk beraksi sepenuh musim.
Walaupun terpaksa menamatkan perlumbaan lebih awal, semangat juang tinggi yang ditunjukkannya sejak sesi latihan bebas sehinggalah ke hari perlumbaan wajar mendapat pujian.
Ketika perlumbaan, Hakim Danish terpaksa akur apabila jentera KTM yang ditungganginya mengalami kerosakan teknikal ketika saingan hanya berbaki lima pusingan.
Sebelum itu, dia yang bermula di petak ke-12 sempat mempamerkan aksi memberangsangkan dengan berada dalam kelompok 11 pelumba terbaik malah turut merekodkan pusingan terpantas perlumbaan, membuktikan keupayaannya bersaing dengan pelumba terbaik dunia.
Mengakui turut terkilan dengan insiden itu, Azuan berkata, apa yang berlaku disifatkan sebagai adat dalam dunia perlumbaan dan ia tidak sedikit pun menggugat kepercayaan pihaknya terhadap bakat luar biasa yang dimiliki Hakim Danish.
"Hakim Danish sudah memberikan segala-galanya, dia berjuang habis-habisan sejak dari sesi latihan bebas, pusingan kelayakan, sehinggalah ke perlumbaan akhir," kata Azuan.
"Walaupun nasib tidak menyebelahinya pada perlumbaan akhir apabila tidak dapat menamatkan saingan, dia sudah membuktikan dia sememangnya layak untuk beraksi di Kejuaraan Dunia."
Sebagai rekod, Hakim Danish telah sah bakal beraksi semusim penuh dalam kempen Moto3 musim 2026 dengan menyertai pasukan MSI Racing Team. Pengumuman rasmi mengenainya dibuat ketika hujung minggu GP Malaysia.

