HAKIM Danish Petak Ke-5 Di Magny-Cours

Hakim Danish Ramli mengharungi kempen kelayakan positif pada Pusingan 3 Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP (JrGP) 2025 di Magny Cours, Perancis untuk memulakan perlumbaan di barisan kedua

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/5/20251 min read

Hakim Danish
Hakim Danish

PELUMBA muda negara, Hakim Danish Ramli bangkit untuk mengharungi kempen kelayakan positif pada Pusingan 3 Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP (JrGP) 2025 di Magny Cours, Perancis, hari ini untuk memulakan perlumbaan, esok di barisan kedua.

Layak terus ke Kelayakan 2 (Q2) tanpa mengharungi Q1 selepas melakukan catatan ke-14 terpantas pada sesi latihan terakhir, pelumba berusia 17 tahun itu melakukan catatan terbaik 1 minit (m) 44.488 saat (s) untuk meletakkannya di grid kelima.

Catatan itu 0.848s lebih perlahan berbanding pelumba yang mencatat masa terpantas, Brian Uriarte.

Petak kedua menjadi milik pelumba Argentina, Marco Morelli dan melengkapkan barisan depan adalah Jesus Rios dari Sepanyol.

Hakim Danish berdepan situasi sukar ketika sesi Latihan terakhir yang menentukan pecahan pelumba ke Q1 dan Q2 apabila pelumba pasukan SIC Racing MSi itu terjatuh di awal sesi.

Kemalangan itu menyaksikan jentera KTM yang ditunggangnya mengalami kerosakan sebelum sempat mencatatkan masa terpantas.

Pasukan SIC Racing MSI bertungkus lumus membaik pulih jentera Hakim Danish tetapi ia hanya selesai kurang lima minit berbaki sebelum sesi tamat.

Situasi itu menyaksikan Hakim Danish terpaksa berpuas hati menamatkan sesi di kedudukan ke-14.

"Barisan kedua untuk perlumbaan esok tetapi kami masih perlu terus bekerja keras dan fokus terhadap perlumbaan. Doakan kejayaan saya," kata pelumba kelahiran Terengganu itu.

Sebagai info, perlumbaan dijadual berlangsung pada Ahad 7.00 petang (waktu Malaysia) dengan hanya satu perlumbaan berlangsung pada pusingan kali ini.