HAKIM Danish Pilih Mahu Kekal Di Moto3
Jawapan itu diberikan oleh Hakim Danish mengikuti pendedahan Pengurus ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin yang mengakui anak didiknya itu turut diintai pasukan yang beraksi di kelas Moto2
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/20/20261 min read


PERMATA sukan permotoran dua roda negara, Hakim Danish Ramli mengambil pendekatan untuk tidak melihat terlalu jauh apabila memilih terus kekal bersaing di pentas Moto3 pada Kejuaraan Dunia Moto3 sekurang-kurangnya untuk tempoh semusim lagi berbanding berhijrah ke Moto2 lebih awal.
Jawapan itu diberikan oleh pelumba kelahiran Terengganu itu mengikuti pendedahan pihak pengurusannya, Zulfahmi Khairuddin yang mengakui anak didiknya itu turut diintai pasukan yang beraksi di Moto2.
Menurut Hakim Danish, keutamaannya ketika ini adalah untuk mengutip lebih banyak pengalaman serta mematangkan ilmu tunggangannya sebelum berdepan persaingan yang lebih sukar di pentas Moto2.
Begitupun sebagai pelumba yang profesional, Hakim Danish yang menyarung sut lumba pasukan AOEN Credit MT Helmets MSi itu enggan membuat keputusan bersendirian, sebaliknya menyerahkan keputusan berhubung hala tuju kariernya kepada Pengurus ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin.
"Ikutkan diri saya kekal setahun lagi di Moto3 adalah perancangan yang baik. Namun, apa jua perancangan, saya letakkan sepenuh kepercayaan kepada Zulfahmi untuk memuktamadkannya," katanya ketika ditemui pada majlis penajaan bersama RCB bagi tahun 2026, hari ini.
Mengulas lanjut, Hakim Danish menegaskan pendiriannya itu bukanlah bermakna dia merendah diri dengan kemampuan sendiri, sebaliknya ia adalah strategi jangka panjang untuk mengelak daripada sekadar menjadi 'pelengkap jadual' jika terburu-buru menukar kelas.
"Langkah ke Moto2 menuntut pertimbangan yang sangat teliti. Transisinya bukan sekadar pertukaran kelas, tetapi melibatkan adaptasi fizikal terhadap jentera yang jauh lebih besar, berkuasa tinggi, serta tekanan berdepan pelumba yang jauh lebih agresif," katanya.
Justeru, tempoh tambahan semusim lagi di saingan Moto3 akan digunakan sebagai medan asahan terbaik buat dirinya bagi menguasai selok-belok perlumbaan dan mencapai tahap maksimum dari sudut kawalan jentera.

