HAKIM Danish, Qabil Irfan Disenarai Program RCB Athlete

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/6/20241 min read

RACING Boy (RCB), jenama pengeluar komponen motosikal premium terkemuka negara, hari ini mengumumkan dua pelumba berbakat besar, Hakim Danish Ramli dan Qabil Irfan Azlan kini disenarai di bawah program RCB Athlete.

Program RCB Athlete yang julung kali diperkenalkan oleh RCB adalah inisiatif syarikat itu untuk membantu pelumba-pelumba muda negara dari sudut sokongan kewangan, latihan serta penyediaan kelengkapan termasuk komponen jentera perlumbaan secara komprehensif.

Sebagai pelumba di bawah program RCB Athlete, untuk permulaan Hakim Danish dan Qabil Irfan akan menerima tajaan selama setahun daripada syarikat berkenaan.

Seperti dikatakan, tajaan yang diterima adalah membabitkan komponen jentera dan wang ringgit bagi kegunaan kedua-dua pelumba kelahiran Terengganu itu untuk latihan serta berlumba di kejuaraan tempatan dan antarabangsa.

Tidak sekadar tajaan, kedua-dua pelumba juga akan memberikan maklumbalas terhadap komponen digunakan keluaran oleh syarikat itu.

Ketika ini, Hakim Danish beraksi dalam dua kejuaraan bakat muda di Eropah, Red Bull MotoGP Rookies Cup dan Kejuaraan Dunia JuniorGP 2024.

Manakala Qabil Irfan yang juga juara dunia FIM MiniGP dunia tahun lalu turut beraksi di Eropah di Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) dalam kelas Moto4 selain kejuaraan FIM MiniGP Malaysia 2024.

Mewakili kedua-dua pelumba adalah Pengurus ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin manakala RCB diwakili Pengarah Pemasaran MKA Group, Marcus Leong.

Marcus ketika ditemui berkata pihaknya bersedia untuk menyokong kedua-dua pelumba berkenaan sehingga berjaya mencapai tahap tertinggi termasuk memburu tempat di MotoGP.

“Kita harap dengan program ini, ia dapat membantu Hakim Danish dan Qabil Irfan yang kami percaya cukup berbakat untuk mengejar impian mereka sekaligus membanggakan nama Malaysia di pentas antarabangsa,” katanya.

Ketika ini, hanya Hakim Danish dan Qabil Irfan berada dalam program RCB Athlete namun menurut Marcus, ia akan dikembangkan dari masa ke semasa dengan perincian termasuk kriteria akan diumumkan kelak.

Seperti diketahui, RCB adalah pengeluar terkenal komponen motosikal premium dan syarikat itu sudah pun melebarkan sayap dengan menaja beberapa pasukan di Kejuaraan Motosikal Dunia termasuk MotoGP.