HAKIM Danish Raih 4 Mata Dari Aragon

Selepas menamatkan perlumbaan Moto3 Grand Prix (GP) British 2026 awal bulan ini dengan tangan kosong, Hakim Danish menamatkan perlumbaan GP Aragon 2026 di tempat ke-12

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/30/20261 min read

PELUMBA negara, Hakim Danish Ramli kembali mengumpul mata kejuaraan selepas menamatkan perlumbaan Moto3 Grand Prix (GP) Aragon 2026 di tempat ke-12, hari ini.

Keputusan itu menyaksikan pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets - MSi itu meraih 4 mata selepas pulang hampa daripada GP British 2026 pada awal bulan ini susulan kemalangan.

Memulakan perlumbaan di petak ke-13, pelumba kelahiran Terengganu itu pada satu ketika berjaya mengisi posisi 10 terbaik beberapa kali namun persaingan sengit di kelompok ke-2 itu menyaksikannya terpaksa berpuas hati di kedudukan ke-12.

Hakim Danish menamatkan perlumbaan 13 pusingan itu dengan catatan keseluruhan 33 minit 29.754 saat (s), ketinggalan 14.284s daripada pemenang, Maximo Quiles dari CFMoto Aspar.

David Almansa (Liqui Moly Dynavolt Intact GP) menamatkan perlumbaan di tempat ke-2 dan rakan sepasukan Quiles, Máximo Morelli melengkapkan kedudukan podium dengan catatan masa 33:16.185s.

Selepas 13 pusingan berlangsung, Hakim Danish kini mengumpul 90 mata dan kekal di tangga ke-8 keseluruhan.