HAKIM Danish Raih Petak Ke-3 GP Jerman 2026
Ini adalah barisan depan ke-4 buat pelumba AEON Credit MT Helmets MSi, Hakim Danish dari Terengganu pada musim ini selepas turut melakukannya di GP Brazil, Itali dan Republik Czech
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/11/20261 min read


PRESTASI cemerlang ditampilkan tiga pelumba 'Rookie' Moto3 musim ini termasuk pelumba negara, Hakim Danish Ramli apabila berjaya menguasai barisan depan Grand Prix (GP) Jerman di Sachsenring.
Pada sesi Kelayakan 2 (Q2) hari ini, pelumba Red Bull KTM Ajo, Brian Uriarte paling cemerlang apabila merangkul petak utama selepas mencatatkan masa terpantas 1:24.88 saat diikuti pelumba CFMOTO Gaviota Aspar Team, Marco Morelli di petak ke-3.
Pelumba negara, Hakim Danish yang beraksi bersama pasukan AEON Credit MT Helmets MSi melengkapkan barisan depan dengan jurang masa cukup sedikit, 0.003s.
Menariknya, ini adalah barisan depan ke-4 buat pelumba kelahiran Terengganu itu pada musim ini selepas turut melakukannya di GP Brazil, Itali dan Republik Czech.
Pendahulu kejuaraan, Maximo Quiles (CFMOTO Gaviota Aspar Team) yang terpaksa mengharungi Q1 akan mengetuai barisan kedua.
Sementara itu, pelumba negara jiran, Veda Pratama (Honda Team Asia) yang mencatatkan masa terpantas sesi Latihan semalam terpaksa berpuas hati menamatkan Q2 dengan catatan ke-13 terpantas.
Pada sesi Latihan, semalam, Hakim Danish berjaya berada dalam kelompok 14 pelumba yang layak terus ke Q2 selepas melakukan catatan ke-7 terpantas.
Terdahulu, pada sesi Latihan Bebas 1 (FP1) semalam, Hakim Danish mencatatkan masa ke-7 terpantas namun pada FP2, prestasinya nampak merudum apabila melakukan catatan ke-23 terpantas sebelum bangkit pada sesi Kelayakan.

