HAKIM Danish Raih Petak Ketiga JrGP 2025 Estoril

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/3/20251 min read

PELUMBA negara, Hakim Danish Ramli meneruskan momentum cemerlangnya musim ini apabila akan memulakan perlumbaan pusingan pembuka tirai Kejuaraan Dunia JrGP (JrGP) 2025 di Estoril, Portugal, esok di barisan hadapan.

Pada sesi kelayakan hari ini, pelumba pasukan SIC Racing-MSi itu melakukan catatan terbaik 1 minit (m) 43.929 saat (s) yang meletakkannya di petak ketiga perlumbaan.

Petak utama menjadi milik pelumba Finland, Rico Salmela daripada pasukan Estrella Galicia 0.0 Honda yang melakukan 1m 43.337s manakala Brian Uriarte dari Sepanyol (UAX Seventytwo Artbox) di petak kedua.

Hakim Danish pada pusingan pertama kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) 2025 di Jerez, Sepanyol minggu lalu meraih petak utama sebelum menamatkan kedua-dua perlumbaan yang berlangsung di kedudukan kedua.

Keputusan itu membenarkan pelumba kelahiran Terengganu itu untuk bergelar pendahulu kejuaraan berkenaan.

Bagi pelumba berusia 17 tahun itu, ia adalah penampilan musim keduanya di JrGP, kejohanan pembangunan bakat utama ke Kejuaraan Motosikal Dunia.

Tahun lalu, Hakim Danish menamatkan saingan JrGP di kedudukan ke-15 keseluruhan selepas mengumpul 46 mata.