HAKIM Danish Ramli Mula Petak Ke-18 Di Valencia

Hakim Danish yang juga pelumba gantian pasukan FRINSA MT Helmets MSI itu mencatat masa 1 minit 37.987 saat dalam sesi Kelayakan 2 (Q2) yang berlangsung di Litar Ricardo Tormo, Sepanyol

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/14/20251 min read

PELUMBA muda negara, Hakim Danish Ramli akan memulakan perlumbaan Moto3 Grand Prix (GP) Valencia 2025 dari petak ke-18, esok.

Keputusan itu diperoleh selepas pelumba gantian pasukan FRINSA MT Helmets MSI itu mencatat masa 1 minit 37.987 saat dalam sesi Kelayakan 2 (Q2) yang berlangsung di Litar Ricardo Tormo, Sepanyol.

Selepas bergelut pada hari pertama sesi, Hakim Danish, 18 menunjukkan peningkatan prestasi apabila berjaya melepasi sesi Kelayakan 1 (Q1) bersama tiga pelumba lain - Stefano Nepa, Brian Uriarte dan Dennis Foggia dan mara ke Kelayakan 2 (Q2).

Dalam Q2, pelumba asal Terengganu itu mencatat masa terbaik peribadi 1:37.987s, meletakkannya di kedudukan ke-18 daripada 18 pelumba yang layak ke sesi berkenaan.

Sementara itu, pelumba tuan rumah, Adrian Fernandez dari pasukan Leopard Racing Honda mencatat masa terpantas 1:36.990s, sekaligus mencipta rekod baharu litar bagi kelas Moto3 dan meraih petak utamanya buat kali kedua musim ini.

David Almansa yang sebelum itu mendahului carta masa latihan bebas dan sesi awal kelayakan mereaih petak kedua dengan perbezaan hanya 0.136 saat.

Barisan depan dilengkapkan Maximo Quiles dari pasukan CFMOTO Valresa Aspar Team.