HAKIM Danish Sah Beraksi GP Malaysia 2025
Selepas tiga tahun tanpa wakil di kategori Moto3 di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS (SIC) sempena Grand Prix Malaysia, Hakim Danish kembali mengisi kekosongan itu pada tahun ini.
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
9/24/20251 min read


SEPERTI jangkaan, pelumba muda sensasi negara, Hakim Danish Ramli akhirnya diumumkan akan membuat penampilan sulungnya di Grand Prix (GP) Malaysia 2025 menerusi tiket wildcard dalam kelas Moto3.
Perkembangan mengujakan itu diperoleh menerusi kenyataan media rasmi daripada Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS (SIC), sekaligus mengesahkan penyertaan pelumba berusia 18 tahun itu dalam perlumbaan yang dijadualkan berlangsung dari 24 hingga 26 Oktober ini.
Dan ia diumumkan sehari selepas pelumba kelahiran Terengganu itu pulang ke tanah air selepas selesai menghabiskan kempen Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) 2025 di Itali, dua minggu lalu diikuti Kejuaraan Dunia FIM Junior GP (JrGP) 2025, minggu lalu.
Buat peminat sukan permotoran khususnya dua roda negara, Hakim Danish bukan nama asing dalam arena sukan permotoran negara.
Selepas menampilkan bakatnya menerusi program akar umbi SIC MiniGP, dia kemudian berjaya meraih beberapa gelaran termasuk menjuarai Asia Talent Cup (ATC) pada 2022 sebelum menyertai saingan elit Eropah seperti European Talent Cup (ETC), RBMRC dan JrGP.
Sebagai rekod, Hakim Danish menjadi pelumba negara pertama bergelar juara keseluruhan ATC dan tempat ketiga keseluruhan RBMRC yang menjadi medan pembangunan pelumba-pelumba terbaik di Asia dan antarabangsa.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif, penampilan Hakim bukan sekadar penyertaan, tetapi lambang kejayaan pelan pembangunan yang dilaksanakan oleh litar berkenaan.
“Hakim Danish dibangunkan dari peringkat akar umbi sehinggalah ke pentas dunia dan tanpa ragu, dia adalah antara bakat terbaik Malaysia bagi generasinya,” kata Shafriman.
"Tiket wildcard ini adalah ganjaran kepada kerja keras dan prestasi konsisten Hakim sepanjang tahun. Tiga tahun selepas penampilan Damok, rakyat Malaysia sekali lagi akan menyaksikan pelumba tempatan beraksi dalam saingan Moto3 bersama SIC.”
Sharfiman menanbah, kejayaan Hakim Danish turut menjadi bukti kerjasama strategik antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan SIC dalam melahirkan pelumba bertaraf dunia melalui laluan pembangunan yang jelas dan tersusun.
“Hakim kini menjadi simbol harapan negara untuk satu hari nanti melahirkan Juara Dunia pertama dari Malaysia,” kata Shafriman.
Justeru, Shafriman turut menyeru seluruh peminat sukan permotoran tanah air untuk turun ke Sepang dan berikan sokongan padu kepada Hakim Danish.
