HAKIM Danish Sambar Petak Ke-9 Di Silverstone
Beraksi bersama pasukan AEON Credit MT Helmets - MSi, Hakim Danish terpaksa berdepan laluan berliku apabila tidak berjaya melangkah terus ke sesi kelayakan kedua (Q2), selepas sekadar mencatat masa ke-16 terpantas pada sesi latihan semalam
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/8/20261 min read


KEBANGKITAN menarik berjaya dipamerkan pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli pada sesi Kelayakan Moto3 Grand Prix (GP) British, hari ini yang menyaksikannya menempah petak ke-9 bagi perlumbaan, esok.
Pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets - MSi itu terpaksa berdepan laluan berliku apabila tidak berjaya melangkah terus ke sesi kelayakan kedua (Q2), selepas sekadar mencatat masa ke-16 terpantas pada sesi latihan semalam.
Begitupun, pelumba berusia 19 tahun itu membuktikan dia memiliki mentaliti luar biasa apabila cemerlang mencatat masa terpantas pada sesi kelayakan pertama (Q1), sekali gus mengesahkan tiket kemaraan ke Q2.
Meneruskan momentum positif pada sesi penentuan Q2, pelumba kelahiran Terengganu itu berjaya memerah keringat jenteranya untuk merekodkan masa 2 minit 09.977 saat (s) bagi mengunci kedudukan dalam kelompok 10 terbaik grid permulaan.
Catatan itu menyaksikannya berjaya memperbaiki masa 2:10.359s yang dilakukannya pada sesi latihan bebas kelmarin dengan kelebihan hampir 0.4s.
Menariknya, Hakim berkongsi catatan masa yang tepat sama (2:09.977s) dengan pelumba Australia, Joel Kelso, namun kedudukan ke-9 diberikan kepada pelumba negara berdasarkan susunan rasmi keputusan sesi kelayakan.
Pelumba tuan rumah, Scott Ogden cemerlang menyambar petak utama selepas melakar masa terpantas 2:09.126s dengan barisan depan dilengkapkan oleh pelumba Sepanyol, Adrian Cruces (2:09.400s) manakala Valentin Perrone di kedudukan ketiga (2:09.458s).

