HAKIM Danish Sedia Hadapi Cabaran 2025

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

1/20/20251 min read

JIKA melihat daripada mata kasar, kecederaan jari yang dihadapi Hakim Danish Ramli ketika berdepan kemalangan beberapa bulan lalu tampak serius tetapi bagi pelumba muda berbakat negara itu, ia adalah 'asam garam' sebagai seorang pelumba.

Memerlukan beberapa siri pembedahan, termasuk terbaharu untuk mengeluarkan wayar di bahagian jari kanannya yang cedera, pelumba kelahiran Terengganu itu ketika ditemui optimis kecederaan itu tidak akan mengganggu rentaknya.

Malah Hakim Danish dengan nada yakin percaya prestasinya tidak akan terganggu sekalipun sedar cabaran lebih besar menantinya bagi kempen musim 2025.

Pada musim ini, pelumba berusia 17 tahun itu sekali lagi dijadual berlumba dalam dua kejuaraan di Eropah, Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) dan Kejuaraan Dunia Junior GP (JrGP).

Dan sekalipun 'tersekat' daripada menunggang sebarang jentera untuk berlatih, Hakim Danish berkata segala-galanya tampak semakin baik.

"Syukur keadaan sudah semakin baik dan jika segalanya berjalan lancar, termasuk proses mengeluarkan wayar, saya akan dapat kembali menunggang dalam masa terdekat," kata Hakim Danish.

"Sebelum itu, saya memang mempunyai program untuk berlatih mengekalkan keadaan fizikal dan stamina saya."

Hakim Danish pada musim lalu menamatkan RBMRC di kedudukan keenam keseluruhan dan ke-15 dalam kelas Moto3 di JrGP.

Seperti dilaporkan sebelum ini, pelumba program pembangunan bakat SIC itu tidak seperti tahun lalu akan menghabiskan lebih banyak masa di Eropah iaitu di Tarragona, Sepanyol.

Pada tahun lalu, Hakim Danish terpaksa membahagikan masanya di Eropah dan tanah air sebagai persiapan untuk menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).