HAKIM Danish Semangat Hadapi RBMRC Di Austria, Buru Podium Jadi Keutamaan!
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/13/20241 min read


REHAT selama lebih sebulan di tanah air jelas meningkatkan semangat Hakim Danish Ramli yang akan kembali beraksi di Pusingan 5 kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) 2024 di Red Bull Ring, Austria, hujung minggu ini.
'Terbang' ke Eropah, semalam, pelumba kelahiran Terengganu itu ketika ditemuramah tampak tidak sabar untuk dengan sasarannya di Red Bull Ring nanti adalah kedudukan tiga terbaik.
"Sasaran saya di Austria adalah untuk mendapatkan kedudukan podium dan saya akan berusaha keras untuk cuba mendapatkannya untuk rakyat Malaysia," kata Hakim Danish.
Pada aksi Pusingan 4 sebelum ini yang berlangsung pada 29 hingga 30 Jun lalu di Assen, Belanda, Hakim Danish tampak sedikit bergelut apabila menamatkan Perlumbaan 1 di tempat ke-11 dan ke-12 pada Perlumbaan 2.
Sebagai rekod, keputusan di Assen adalah paling teruk buat Hakim Danish pada musim ini yang pernah meraih dua kedudukan podium ketika Pusingan 1 di Jerez, Sepanyol dan Le Mans, Perancis.
Menggunakan nombor 13, pelumba berusia 17 tahun itu ketika ini menghuni tempat ke-6 keseluruhan carta pelumba selepas mengumpul 83 mata selepas empat pusingan berlangsung.
Pelumba Sepanyol, Brian Uriarte memimpin carta dengan mengutip 140 mata diikuti Alvaro Carpe (127 mata) dan Valentin Perrone (117 mata).
