HAKIM Danish Tagih Pengalaman Aksi Di Assen

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/27/20241 min read

PELUMBA tunggal negara yang beraksi dalam kempen red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) 2024 berharap pengalaman beraksi di Litar Assen, Belanda membantunya meraih keputusan terbaik di Pusingan 4 kejuaraan itu, hujung minggu ini.

Hakim Danish dari Terengganu kembali ke litar untuk minggu kedua berturut-turut selepas melengkapkan aksi Pusingan 4 Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP di Portugal, minggu lalu.

Tidak memperoleh keputusan yang diharapkan di Portimao, pelumba berusia 17 tahun itu tampak cukup bersemangat untuk memperbaiki keputusan itu di Assen yang diakui digemarinya dan memburu penamat di kedudukan podium.

"Harapan saya untuk minggu ini, saya ingin mendapatkan podium untuk kedua-dua perlumbaan saya di Assen," kata Hakim Danish dalam satu kenyataan media yang disediakan oleh ZK Racing.

"Ini adalah kali kedua saya berlumba di litar ini.

"Saya suka litar ini kerana ia memiliki selekoh berkelajuan tinggi di sektor kedua dan juga aliran selekoh di litar ini," katanya.

Selapas mengharungi tiga pusingan di RBMRC 2024, Hakim Danish menghuni tangga ke-5 keseluruhan selepas mengumpul 72 mata dan keputusan terbaiknya adalah tangga ke-2 di Jerez dan ketiga di Mugello.

"Saya harap saya dapat buat yang terbaik dan saya harap rakyat Malaysia dapat menyokong saya.

"Saya akan kekal bersemangat untuk capai kejayaan saya di Assen," katanya.