HAKIM Danish Tak Kutip Mata Di Portimao

Keputusan itu diperoleh Hakim Danish selepas pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets MSi itu tampak bergelut untuk beraksi dalam keadaan litar basah di Litar Antarabangsa Algarve, Portimao

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/22/20261 min read

PELUMBA negara, Hakim Danish Ramli terpaksa menelan hakikat pahit apabila menamatkan perlumbaan Moto3 Grand Prix (GP) Portugal 2026 di luar kelompok pungutan mata selepas sekadar menamatkan aksi di tempat ke-16, hari ini.

Keputusan itu diperoleh selepas pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets MSi itu tampak bergelut untuk beraksi dalam keadaan litar basah di Litar Antarabangsa Algarve, Portimao.

Pelumba kelahiran Terengganu itu menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 32.163 saat (s) di belakang juara perlumbaan dari Sepanyol, Maximo Quiles.

Keputusan itu nyata mengecewakan memandangkan pelumba muda itu berada pada momentum terbaik sebelum dengan memulakan perlumbaan di barisan ke-4 tetapi hujan yang turun sebelum perlumbaan bermula mengubah sepenuhnya dinamik persaingan apabila perlumbaan diisytiharkan secara rasmi sebagai perlumbaan basah.

Faktor cuaca dan keadaan permukaan litar yang licin serta berisiko tinggi turut memaksa pihak penganjur memendekkan jarak perlumbaan daripada 19 pusingan kepada hanya 12 pusingan.

Perubahan drastik itu menyaksikan pelumba berusia 19 tahun itu berdepan kesukaran mencari cengkaman terbaik pada jenteranya, sekali gus gagal mengekalkan kedudukan dalam kelompok depan sebelum beransur-ansur tercicir ke kelompok belakang.

Keputusan menyaksikan kedudukan Hakim Danish dalam carta kedudukan dunia turut jatuh ke tangga ke-9 keseluruhan dengan mengumpul 125 mata.

Tempat ke-2 di Portimao diperoleh pelumba Finland, Rico Salmela manakala seorang lagi pelumba Sepanyol, Adrian Fernandez, melengkapkan pentas podium.