HAKIM Danish Tak Lepas Q2, Mula GP Jepun Di Petak Ke-21

Selepas menamatkan sesi Latihan, semalam dengan catatan ke-17 terpantas yang menyaksikannya tak berjaya mara secara terus ke Q2, pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets MSi, Hakim Danish mengharapkan kebangkitan dapat dicapai pada Q1 namun tidak kesampaian

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/3/20261 min read

PELUMBA Moto3 negara, Hakim Danish Ramli terpaksa berpuas hati untuk memulakan perlumbaan Grand Prix (GP) Jepun 2026 dari petak ke-21 selepas menamatkan sesi Kelayakan 1 (Q1) dengan catatan ke-8 terpantas yang menyaksikannya turut terlepas tiket untuk ke Q2.

Selepas menamatkan sesi Latihan, semalam dengan catatan ke-17 terpantas yang menyaksikannya tak berjaya mara secara terus ke Q2, pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets MSi itu mengharapkan kebangkitan dapat dicapai pada Q1.

Tetapi, apa yang diharapkan di Litar Mobility Resort Motegi tidak menjadi kenyataan apabila dia sekadar melakukan catatan terbaik 1 minit (m) 55.856 saat (s) dengan hanya 4 pelumba terpantas Q1 layak ke Q2.

Sebagai rekod, catatan terbaik Q1 dilakukan pelumba Itali, Guido Pini (1m 55.322s).

Pelumba kelahiran Terengganu itu berjaya memperbaiki catatan masanya pada sesi Latihan Bebas 2 di sebelah pagi dengan melakukan catatan ke-11 terpantas 1m 55.594s namun momentum itu tidak berjaya dibawa ke sesi Kelayakan.

Seperti diketahui, Hakim Danish hadir ke Motegi dengan motivasi dan keyakinan yang tinggi apabila berada di kedudukan ke-7 carta keseluruhan Moto3 dunia dengan mengumpul 101 mata.

Perlumbaan di Jepun adalah pembuka tirai siri jelajah pusingan Asia bagi kalendar musim 2026 dan ia diikuti GP Indonesia pada 11 Oktober, diikuti GP Australia (25 Oktober) dan GP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 1 November.