HAKIM Danish Tak Perlu Terlalu Lama Beraksi Di Moto3 - Razlan Razali
Razlan yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif SIC berkata Hakim Danish perlu berani mengorak langkah menyertai saingan Moto2 sekiranya ruang itu terbuka memandangkan proses penyesuaian di kelas pertengahan itu menuntut tempoh masa yang lebih panjang
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/10/20262 min read


BEKAS bos pasukan MotoGP RNF Aprilia, Datuk Razlan Razali berpendapat pelumba muda negara Hakim Danish Ramli tidak perlu menghabiskan masa terlalu lama bersaing dalam kelas Moto3 sebelum memikirkan langkah untuk naik ke kelas yang lebih tinggi.
Kata Razlan yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif SIC, pelumba berusia 18 tahun itu perlu berani mengorak langkah menyertai saingan Moto2 sekiranya ruang itu terbuka memandangkan proses penyesuaian di kelas pertengahan itu menuntut tempoh masa yang lebih panjang.
"Saya sudah menasihatkan kedua-duanya, Hakim Danish dan (pengurusnya) Zulfahmi Khairuddin supaya tidak menghabiskan masa terlalu lama di mana-mana kelas tertentu. Jika ada peluang untuk melangkah ke kelas atasan, mereka patut rebut peluang itu," kata Razlan memetik laporan NST.
Menurutnya, walaupun kenaikan kelas itu perlu disokong dengan pencapaian yang melayakkannya, Razlan secara peribadi melihat kedudukan dalam kelompok lima terbaik sudah memadai untuk Hakim Danish berhijrah jika ada pasukan yang sudi menawarkannya tempat.
"Secara umumnya, ia mengambil masa yang lebih lama untuk membiasakan diri dengan perlumbaan di Moto2, tetapi kita juga sudah melihat apa yang dilakukan oleh pelumba seperti Diogo Moreira. Anda tidak semestinya perlu bergelar juara Moto3 sebelum naik ke kelas seterusnya.
"Jika Danish boleh mengekalkan tunggangan konsisten dengan keputusan di kedudukan lima terbaik, saya fikir dia memang layak untuk ke Moto2," katanya.
Sebagai rekod, Danish yang dibimbing dan diuruskan oleh Zulfahmi sejak 2020, mengorak langkah menyertai kelas Moto3 pada musim ini.
Pada kempen rookienya, Hakim Danish mempamerkan aksi yang cukup positif apabila berjaya meraih satu penamat di pentas podium, empat kali berada di kedudukan 10 terbaik serta dua kali bermula dari barisan hadapan.
Bakat muda negara itu kini menghuni tangga ke-10 dalam senarai kedudukan keseluruhan Moto3 dengan kutipan 48 mata.
Mengulas lanjut, Razlan percaya tindakan meluangkan lebih banyak masa dan fokus bersaing di saingan Moto2 kelak adalah lebih bermanfaat buat masa depan Danish.
"Anda boleh luangkan masa yang lebih lama sedikit di Moto2, itu tidak mengapa kerana sebaik sahaja anda mula mempamerkan prestasi cemerlang (di kelas itu), peluang anda untuk naik ke MotoGP adalah lebih tinggi. Sememangnya tiada apa yang terjamin, tetapi ia akan menjadikan laluan itu lebih mudah," tambahnya.
Sehingga kini, pelumba sensasi, Hafizh Syahrin Abdullah kekal sebagai satu-satunya penunggang dari Malaysia yang pernah beraksi dalam kancah kelas perdana MotoGP.
Hafizh menghabiskan masa selama empat tahun sebagai pelumba sepenuh masa di Moto2 dari 2014 hingga 2017 sebelum mencipta sejarah melangkah ke MotoGP bagi musim 2018 dan 2019.

