HAKIM Danish Takluk Aragon!

Selepas lima kedudukan naib juara berturut-turut, pelumba negara, Hakim Danish Ramli boleh melepaskan julukannya sebagai 'Mr2' selepas menjuarai Perlumbaan 2 Pusingan ketiga Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) di Aragon.

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/8/20251 min read

SELEPAS lima kedudukan naib juara berturut-turut, pelumba negara, Hakim Danish Ramli boleh melepaskan julukannya sebagai 'Mr2' selepas menjuarai Perlumbaan 2 Pusingan ketiga Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) di Aragon, hari ini.

Kejayaan membanggakan itu sekali gus memastikan lagu Negaraku akhirnya bergema di bumi Sepanyol sekali gus menebus kekecewaannya pada Perlumbaan 1, semalam dan dua pusingan sebelum ini di Jerez, Sepanyol dan Le Mans, Perancis sebelum ini.

Terpaksa memulakan perlumbaan di petak ketujuh susulan kesulitan yang dihadapi ketika kelayakan, pelumba berusia 17 tahun itu tampil dengan persembahan agresif dan enggan menunggu lama untuk meletakkan dirinya di kelompok tiga terbaik seawal pusingan pertama.

Begitupun, saingan sengit menyaksikannya jatuh ke kedudukan ketujuh sebelum pelumba kelahiran Terengganu itu mencipta kebangkitan menakjubkan di pusingan terakhir.

Dan perancangannya untuk memimpin perlumbaan di beberapa selekoh terakhir jelas membuahkan hasil apabila dia melepasi garisan penamat sebagai juara dengan catatan 26 minit 52.773 saat dengan pelumba Sepanyol, Brian Uriarte terpaksa berpuas hati di tempat kedua, ketinggalan 0.188 saat.

Seorang lagi pelumba Sepanyol, David Gonzalez melengkapkan kedudukan podium.

"Akhirnya kami menang. Saya mengharungi perlumbaan yang menakjubkan pada hari ini. Perlumbaan agak sukar kerana tahap degradasi tayar cukup pantas tetapi saya berjaya menguruskannya dengan baik," kata Hakim Danish.

"Terima kasih kepada semua staf Red Bull Rookies, penaja saya, SIC, ZK Racing, Terengganu Inc, RCB, keluarga dan rakan dan semua yang menyokong saya. Tidak lupa juga, Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh rakyat Malaysia."

Hakim Danish ketika ditanya mengenai harapannya pusingan seterusnya berkata: "Saya akan cuba mengekalkan momentum ini di Mugello ."

Kemenangan menyaksikan Hakim Danish terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pendahulu keseluruhan carta kejuaraan RBMRC musim ini selepas mengumpul keseluruhan 125 mata. Pusingan 4 RBMRC akan bersambung di Mugello, Itali pada 21 dan 22 Jun ini.