HAKIM Danish Tamatkan Perlumbaan 1 RBMRC Austria Di P8
Susulan keadaan litar basah akibat hujan di Red Bull Ring, perlumbaan terpaksa ditangguhkan lebih 20 minit dengan Hakim Danish memulakan perlumbaan di petak ke-9
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/16/20251 min read


PELUMBA muda negara, Hakim Danish Ramli menamatkan Perlumbaan 1 Pusingan 6 RBMRC 2025 di Red Bull Ring, Austria di tempat ke-8, hari ini.
Keputusan itu menyaksikan kedudukan pelumba berusia 18 tahun itu selaku pendahulu carta kejuaraan turut terlepas kepada pelumba Sepanyol, Brian Uriarte.
Perlumbaan pada awalnya terpaksa ditangguhkan lebih 20 minit susulan hujan di Red Bull Ring dengan pelumba berusia 18 tahun itu memulakan perlumbaan di petak ke-9.
Berada di posisi yang baik ketika perlumbaan dimulakan semula malah berada di kedudukan podium pada satu ketika, malang menimpa pelumba kelahiran Terengganu itu apabila dia terjatuh di pusingan terakhir tatkala berada di posisi kelima.
Begitupun enggan mengalah, Hakim Danish bangkit untuk meneruskan perlumbaan dan melepasi garisan penamat di tempatb ke-8.
Perlumbaan dimenangi Uriarte dengan pelumba Indonesia, Veda Ega Pratama menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan pelumba Amerika Syarikat, Kristian Daniel melengkapkan kedudukan podium.
Selepas 11 perlumbaan, Uriarte kini memimpin carta kedudukan pelumba selepas mengumpul 166 mata dengan Hakim Danish di tempat kedua dengan 162 mata.
Pratama di tempat ketiga dengan 150 mata.
