HAKIM Danish Tayang Taring Di Catalunya
Selepas mencatat masa terpantas pada sesi Latihan Bebas 1 (FP1) di sebelah pagi, Hakim Danish yang beraksi bersama pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi sekali lagi membuktikan kemampuannya apabila mencatatkan masa paling pantas pada sesi Latihan
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
5/15/20261 min read


JAGUH Moto3 negara, Hakim Danish Ramli mencipta sensasi apabila menampilkan dominasi penuh pada hari pertama Pusingan 6 Kejuaraan Motosikal Dunia Grand Prix (GP) Catalunya 2026 yang berlangsung di Litar Barcelona-Catalunya, hari ini.
Selepas mencatat masa terpantas pada sesi Latihan Bebas 1 (FP1) di sebelah pagi, pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu sekali lagi membuktikan kemampuannya apabila mencatatkan masa paling pantas pada sesi Latihan.
Dan catatan yang dilakukannya, 1 minit 46.943 saat (s) menyaksikannya mengetuai senarai 12 pelumba yang mengesahkan kemaraan secara automatik ke sesi Kelayakan 2 (Q2), esok.
Menariknya, ini kali pertama pelumba dari Malaysia mencatatkan masa terpantas pada kedua-dua sesi dalam sehari dalam saingan berprestij berkenaan.
Sementara itu, pelumba pasukan Red Bull KTM Ajo, Brian Uriarte yang juga seterunya dalam kempen Red Bull MotoGP Rookies Cup musim lalu mencatatkan masa ke-2 terpantas.
Pelumba Sepanyol yang mewakili pasukan Leopard Racing, Adrian Fernandez melakukan catatan ke-3 terpantas.
Selepas lima pusingan, pelumba kelahiran Terengganu itu ketika ini sudah mengumpul 18 mata dan berada di kedudukan ke-15 keseluruhan kelas Moto3.
Pelumba CFMOTO Gaviota Aspar Team, Maximo Quiles mengisi tangga teratas dengan mengumpul keseluruhan 115 mata.

