HAKIM Danish Tempah Tiket Terus Ke Q2 Di Le Mans

Pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets - MSi, Hakim Danish tampil cengan persembahan terpuji apabila merekodkan masa ke-4 terpantas secara keseluruhan pada sesi Latihan di Litar Le Mans

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/8/20261 min read

HAKIM Danish Ramli tampil dengan tunggangan terpuji apabila berjaya menempah tiket terus ke sesi Kelayakan 2 (Q2) Moto3 pada saingan Grand Prix (GP) Perancis, hari ini.

Kejayaan itu dicapai selepas pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets - MSi berkenaan cemerlang merekodkan masa ke-4 terpantas secara keseluruhan pada sesi Latihan di Litar Le Mans.

Pelumba kelahiran Terengganu itu mencetak masa pusingan 1 minit 40.44 saat (s), hanya ketinggalan 0.232s di belakang pelumba Sepanyol dari pasukan Liqui Moly Dynavolt Intact GP, David Munoz yang muncul pelumba terpantas.

Rakan sepasukan Munoz, David Almansa melakar masa kedua terpantas, manakala pelumba Argentina, Marco Morelli melengkapkan kedudukan tiga teratas sesi berkenaan.

Sementara itu, pelumba Honda Team Asia dari Indonesia, Veda Ega Pratama turut menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik dengan menduduki tempat kesembilan.

Pencapaian memberangsangkan ini pastinya menyuntik tonik tambahan buat Hakim bagi memburu kedudukan petak mula terbaik pada sesi Q2 yang dijadualkan berlangsung esok.