HAKIM Danish Tempat Ke-12 GP Jerman 2026
Bermula di barisan depan (petak ke-3), harapan menggunung diletakkan peminat Hakim Danish di Sachsenring namun sebaliknya berlaku yang menyaksikann pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets-MSi itu bergelut untuk memberikan saingan
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/12/20261 min read


HASRAT untuk menyaksikan pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli menaiki podium di Pusingan ke-11 Grand Prix (GP) Jerman 2026 tidak kesampaian apabila dia menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-12, hari ini.
Bermula di barisan depan (petak ke-3), harapan menggunung diletakkan peminat tempatan buat pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets-MSi itu di Sachsenring namun sebaliknya berlaku yang menyaksikannya bergelut untuk memberikan saingan.
Pelumba kelahiran Terengganu itu bermula garang di awal saingan tetapi cabarannya makin mengendur untuk satu ketika berada di tempat ke-13.
Hakim Danish cuba bangkit di penghujung persaingan apabila berada di kedudukan ke-8 pada satu ketika tetapi ia tidak kekal lama sebelum kembali dipintas dan terpaksa berpuas hati di tempat ke-12.
Pelumba pasukan Red Bull KTM Ajo, Brian Uriarte yang memulakan perlumbaan di petak utama muncul juara selepas berjaya mengekang asakan hebat pendahulu kejuaran, Maximo Quiles daripada pasukan CFMOTO Gaviota Aspar Team.
Dan pelumba Itali, Matteo Bertelle (LevelUp-MTA) melengkapkan kedudukan podium.
Empat mata yang diraih di Jerman menyaksikan kedudukan Hakim Danish dalam carta keseluruhan jatuh ke tangga ke-7 selepas dipintas pelumba Indonesia, Veda Ega Pratama.
Saingan Moto3 akan mengharungi rehat musim panas sebelum kempen bersambung di GP Britain pada 7 hingga 9 Ogos depan.

