HAKIM Danish Tempat Ke-3 Keseluruhan RBMRC 2025

Perlu menamatkan saingan di atas pelumba Indonesia, Veda Ega Pratama pada Perlumbaan 2, Hakim Danish sekali lagi berdepan kemalangan dan lebih mengecewakan sebanyak dua kali sebelum menamatkan perlumbaan dengan status DNF tanpa sebarang mata

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/14/20251 min read

MINGGU yang boleh dikatakan serba tidak menjadi buat Hakim Danish Ramli pada pusingan terakhir Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) 2025 di Misano, Itali yang menyaksikannya mengesahkan kedudukan tempat ketiga keseluruhan kejuaraan membabitkan bakat-bakat terbaik seluruh dunia itu.

Pada Perlumbaan 2 yang berlangsung hari ini, pelumba berusia 18 tahun itu sekali lagi berdepan kemalangan dan lebih mengecewakan sebanyak dua kali dan menamatkan perlumbaan dengan status DNF.

Memulakan perlumbaan di petak keenam, Hakim berjaya meletakkan dirinya bersaing dalam kelompok utama malah satu ketika berada di posisi podium.

Begitupun berbaki lapan pusingan, pelumba kelahiran Terengganu itu gagal mengawal jenteranya sebelum terjatuh.

Situasinya menyaksikannya tidak lagi mampu menghalang pelumba Indonesia, Veda Ega Pratama untuk meraih tempat kedua keseluruhan dengan gelaran dunia RBMRC sudah pun disahkan menjadi milik pelumba Sepanyol, Brian Uriarte, semalam.

Secara keseluruhan, Hakim mengumpul 171 mata dengan Veda 181 mata dan Uriarte (236 mata).

Perlumbaan penutup tirai RBMRC musim ini itu dimenangi pelumba Sepanyol, David Gonzalez dengan Uriarte di tempat kedua manakala Marco Morelli dari Argentina di tempat ketiga.

Bagaimanapun, kedudukan tempat ke-3 masih boleh dianggap baik dan berada dalam KPI yang ditetapkan Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS kepada pelumba itu pada musim ini.

Sebagai rekod, pada penampilan pertamanya di RBMRC pada 2023, Hakim menamatkan saingan di kedudukan ke-12 keseluruhan sebelum memperbaikinya selepas mencatat kedudukan ke-6 keseluruhan pada musim lalu.