HAKIM Danish Tepati Ramalan Naik Podium ESBK Moto3 Di Jerez
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/16/20231 min read


JAGUH dalam pembikinan negara, Hakim Danish Ramli seperti dijangka dan diharapkan mampu memberikan saingan sengit ketika beraksi dalam tiket 'Wildcard' di Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) 2023 di Sepanyol, semalam.
Apa tidaknya, sekalipun ia penampilan sulung, pelumba berusia 16 tahun itu yang beraksi dalam kelas Pre-Moto3 bersama pasukan Frando Racing VHC Team gah menamatkan sesi kelayakan sebagai pelumba kedua terpantas.
Dan keputusan terpuji berjaya dicipta Hakim apabila dia menduduki tangga ke-6 pada Perlumbaan 1 sebelum menaiki podium selepas menamatkan perlumbaan selaku naib juara pada Perlumbaan 2.
Keputusan yang diraih pelumba yang berkelana ke Eropah pada musim ini untuk beraksi di kejuaraan ETC (European Talent Cup) dan Red Bull Rookies Cup (RBRC) itu turut dikongsikan oleh pasukan pengurusannya ZK Racing.
"Selesai untuk perlumbaan Pre-Moto 3 di Jerez. Saya ingin berterima kasih kepada pasukan, penaja-penaja dan keluarga saya. Banyak pengalaman saya dapat di sini dan kenangan," kata pelumba kelahiran Terengganu itu.
ZK Racing sebelum ini menjelaskan penampilan Hakim di ESBK adalah sebagai pendedahan buat pelumba muda berkenaan yang disifatkan amat memerlukan lebih pengalaman bersaing bersama pelumb-pelumba Eropah.
Selepas mengakhiri kempen RBRC 2023, Hakim dijadual menamatkan kempen ETC 2023 di Litar Ricardo Tormo pada 5 November depan.












