HAKIM Danish Terlepas Tiket Q2 Moto3 GP AS Secara Terus

Hakim Danish yang beraksi bersama pasukan AEON Credit MT Helmets MSi itu melakukan catatan 2 minit 15.013 saat (s), ketinggalan 1.256s daripada catatan terpantas dilakukan pelumba CFMoto Aspar, Maximo Quiles

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/28/20261 min read

HARAPAN pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli untuk menempatkan diri secara terus ke sesi Kelayakan 2 (Q2) GP Amerika Syarikat 2026 tidak kesampaian selepas sekadar melakukan catatan ke-21 terpantas pada sesi Latihan, awal pagi ini.

Pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets MSi itu melakukan catatan 2 minit 15.013 saat (s), ketinggalan 1.256s daripada catatan terpantas dilakukan pelumba CFMoto Aspar, Maximo Quiles.

Seorang lagi wakil Asia Tenggara, Veda Ega Pratama (Honda Team Asia) layak terus ke Q2 selepas mencatatkan masa ke-14 terpantas yang juga kedudukan terakhir untuk layak terus ke sesi berkenaan.

Sementara itu, pelumba Itali, Guido Pini (Leopard Racing) melakukan catatan ke-2 terpantas, ketinggalan 0.172s dengan pelumba Red Bull KTM Ajo, Alvaro Carpe ke-4 terpantas.

Bagi Hakim Danish, ini kali kedua pelumba yang beraksi secara sepenuh musim di Moto3 terlepas tiket ke Q2 selepas pusingan pembukaan di GP Thailand.