HAKIM Danish Teruja Hadapi Kempen Asia, Intai Keputusan Cemerlang Di Jepun

Selepas konsisten mengutip mata dalam 3 pusingan terdahulu, semangat pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets-MSi, Hakim Danish berada pada tahap terbaik, apatah lagi dia baru sahaja melonjak satu anak tangga untuk menghuni kedudukan ke-7 carta kedudukan pelumba Moto3 dunia

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/25/20261 min read

PELUMBA Moto3 negara, Hakim Danish Ramli mengalihkan fokusnya ke siri jelajah Asia yang bakal bermula dengan Grand Prix (GP) Jepun 2026 di Motegi, minggu depan.

Selepas konsisten mengutip mata dalam 3 pusingan terdahulu, semangat pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets-MSi itu berada pada tahap terbaik, apatah lagi dia baru sahaja melonjak satu anak tangga untuk menghuni kedudukan ke-7 carta kedudukan pelumba Moto3 dunia dengan mengumpul 101 mata.

Pelumba kelahiran Terengganu itu berkata, aksi di rantau Asia pastinya memberikan aura berbeza dan dia bertekad untuk menggunakan peluang ini bagi mengutip seberapa banyak mata yang boleh untuk memperbaiki kedudukannya dalam carta kejuaraan.

"Saya amat teruja untuk menghadapi perlumbaan seterusnya di Asia, khususnya di Jepun, dan bertekad untuk mencatatkan keputusan yang lebih cemerlang.

"Terima kasih atas sokongan berterusan semua pihak (yang terus mendoakan kejayaan saya)," katanya yang kini sedang melakukan persiapan rapi menjelang perlumbaan berkenaan.

Tirai pusingan Asia bagi Kejuaraan Dunia Moto3 akan bermula dengan GP Jepun yang dijadualkan berlangsung di Mobility Resort Motegi dari 2 hingga 4 Oktober ini.

Selepas aksi di Jepun, cabaran pelumba negara itu akan diteruskan menerusi saingan di GP Indonesia dan GP Australia, sebelum perlumbaan kemuncak penutup tirai Asia yang ditunggu-tunggu iaitu GP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).