HAKIM Danish Teruja Hadapi Silverstone
Tempoh rehat tiga minggu bersempena cuti musim panas dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelumba Moto3 negara, Hakim Danish sebagai persiapan rapi menjelang saingan Grand Prix (GP) British di Litar Silverstone, hujung minggu ini
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/4/20261 min read


PELUMBA Moto3 negara, Hakim Danish Ramli memanfaatkan sepenuhnya tempoh rehat lebih tiga minggu bersempena cuti musim panas MotoGP untuk persediaan menjelang saingan Grand Prix (GP) British di Litar Silverstone, hujung minggu ini.
Beraksi bersama pasukan AEON Credit MT Helmets-MSi, pelumba kelahiran Terengganu itu jelas tidak mahu bersenang-lenang, sebaliknya menggunakan masa di tanah air selepas GP Jerman untuk memperkemaskan aspek fizikal, mental dan teknikal.
Meskipun berdepan 'tugasan' dengan penaja dan sebagainya, Hakim Danish tetap melakukan latihan bersama jurulatih serta melakukan analisis mendalam terhadap perlumbaan lalu menjadi fokus utamanya bagi memastikan dirinya berada pada tahap optimum untuk mengharungi baki saingan musim 2026.
Bakal membuat penampilan sulung di litar legenda Britain itu, pelumba yang menyambut kelahiran ke-19, minggu lalu kekal positif dan berazam untuk cepat menyesuaikan diri.
"Persiapan saya untuk perlumbaan di Silverstone berjalan dengan lancar. Sudah tentu saya teruja untuk kembali berlumba selepas tamat cuti musim panas," katanya.
"Sepanjang berada di Malaysia, saya menggunakan masa yang ada untuk menjalani latihan dan mengkaji semula perlumbaan sebelum ini bersama jurulatih supaya lebih bersedia menghadapi baki saingan.
"Untuk GP British, saya memang tidak sabar kerana ini merupakan kali pertama saya berlumba di Litar Silverstone. Saya tahu ia bukan litar yang mudah, jadi saya perlu cepat belajar dan menyesuaikan diri dengan keadaan litar sebaik mungkin. Saya akan berikan yang terbaik untuk meraih keputusan yang positif."
Motivasi Hakim kini pastinya berada pada tahap terbaik berdasarkan pencapaian cemerlangnya setakat ini. Dia kini menghuni kedudukan ketujuh keseluruhan kejuaraan dengan mengumpul 86 mata.
Sepanjang kempen musim ini, Hakim telah membuktikan kehebatannya apabila berjaya merangkul satu kemenangan berprestij di Brno, selain menaiki podium di tempat ketiga di Mugello.

