HAKIM Danish Teruja Nak 'Cabar' Jerez
Selepas berakhir Pusingan 3 di Amerika Syarikat (AS) kira-kira sebulan lalu, Hakim Danish yang berlumba bersama pasukan AEON Credit MT Helmets MSi itu memilih untuk melupakan seketika kerinduan kepada keluarga dan sambutan Lebaran dengan tidak pulang ke tanah air, sebaliknya kekal di Eropah bagi menjalani persiapan rapi
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
4/21/20261 min read


PELUMBA Moto3 negara, Hakim Danish Ramli berharap keputusannya untuk 'berkampung' di Sepanyol berupaya membuahkan hasil positif menjelang saingan Pusingan 4 Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) Grand Prix (GP) Sepanyol 2026, hujung minggu ini.
Selepas berakhir Pusingan 3 di Amerika Syarikat (AS) kira-kira sebulan lalu, pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets MSi itu memilih untuk melupakan seketika kerinduan kepada keluarga dan sambutan Lebaran dengan tidak pulang ke tanah air, sebaliknya kekal di Eropah bagi menjalani persiapan rapi.
Bakal beraksi di Jerez, litar ikonik itu bukanlah trek asing buat pelumba berusia 18 tahun itu namun turut menyimpan memori indah buat Hakim Danish apabila dia pernah mencipta kejutan menaiki podium di tempat kedua sebanyak dua kali berturut-turut ketika bersaing dalam kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup sebelum ini.
Prestasi baik itu pastinya menjadi tonik tambahan buat anak jati Terengganu itu untuk memburu keputusan memberangsangkan pada penampilan sulungnya di kelas Moto3 di litar berkenaan kali ini.
"Selepas tiga minggu berehat, minggu ini adalah minggu perlumbaan bagi pusingan keempat di Jerez. Saya sangat tidak sabar untuk kembali beraksi dan berasa cukup bersemangat serta bermotivasi menjelang hujung minggu ini," kata Hakim Danish.
"Selepas tamat perlumbaan di GP Amerika Syarikat, saya kekal berada di Sepanyol selama tiga minggu untuk meneruskan latihan jentera, berbasikal dan berlari bersama pelumba lain bagi mengekalkan tahap kecergasan."
Menyentuh mengenai cabaran di Jerez, Hakim Danish menyedari litar sepanjang 4.4 kilometer itu sering menjadi 'taman permainan' dan trek latihan untuk kebanyakan pelumba Eropah, namun ia sama sekali tidak menggugatkan keyakinannya.
"Saya tahu ia adalah litar kegemaran banyak pelumba dan mereka selalu melakukan latihan di litar ini, tetapi ia bukanlah satu halangan untuk saya dan saya yakin mampu memberikan tentangan serta yang terbaik.
"Ia antara litar kegemaran saya kerana mempunyai beberapa selekoh berkelajuan tinggi yang menepati gaya tunggangan saya.
"Walaupun terdapat selekoh berkarakter ‘stop-and-go’ serta zon membrek yang keras, saya berharap dapat melakukan tunggangan yang sempurna. Saya juga berharap rakyat Malaysia terus mendoakan kejayaan saya untuk perlumbaan hujung minggu ini," katanya.

