HAKIM Danish Tetap 'Membara'

Pada aksi pusingan 1 di GP Thailand 2026, Hakim Danish yang beraksi bersama pasukan AEON Credit MT Helmets MSi itu terpaksa pulang tangan kosong selepas menamatkan perlumbaan di tempat ke-18 sekali pun bermula di petak ke-15

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/2/20261 min read

PELUMBA negara, Hakim Danish Ramli enggan meratapi keputusan kurang memberangsangkan pada aksi debut penuhnya di pentas Moto3 GP Thailand 2026 sebaliknya bertekad untuk berusaha lebih keras menghadapi pusingan seterusnya.

Pada aksi pusingan 1, pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets MSi itu terpaksa pulang tangan kosong selepas menamatkan perlumbaan di tempat ke-18 sekali pun bermula di petak ke-15.

Pelumba kelahiran Terengganu itu mempamerkan semangat juang tinggi pada awal perlumbaan apabila berjaya membaiki kedudukan hingga ke tempat ke-14 tetapi persaingan sengit menyaksikannnya terpaksa berputih mata.

Mengakui keputusan yang dicapai di Thailand bukan yang dimahukan, pelumba berusia 18 tahun itu percaya perlumbaan di Buriram sebagai positif sambil mengakui masih banyak ruang yang perlu diperbaiki, terutamanya dari segi keserasian bersama jentera KTM Moto3.

"Perlumbaan memang sukar. Saya cuba untuk mengekori kelompok hadapan, tetapi kelajuan mereka berbeza dan sangat laju. Saya sudah berusaha sehabis baik untuk ke depan namun tidak berjaya dan sedar masih banyak yang perlu ditingkatkan terutama dari segi tunggangan.

"Saya perlu mencari pelarasan yang tepat agar jentera lebih mudah dikendalikan. Insya-Allah, saya akan bekerja keras lagi.

"Untuk perlumbaan seterusnya, fokus saya akan terarah kepada cara tunggangan, terutamanya cara mengendalikan jentera ini. Saya perlu perbaiki teknik brek dan ketika memasuki selekoh. Selain itu, walaupun komunikasi saya bersama pasukan sudah agak baik, saya mahu mantapkannya lagi supaya kami lebih serasi."

Nasib turut tidak menyebelahi rakan sepasukan Hakim Danish, Ryusei Yamanaka apabila pelumba Jepun itu terjatuh pada pusingan kedua.

Perlumbaan dimenangi pelumba Sepanyol, David Almansa (Liqui Moly Dynavolt Intact GP) diikuti Maximo Quiles (CFMOTO Gaviota Aspar Team), manakala Valentin Perrone (Red Bull KTM Tech3) melengkapkan pentas podium.

Kredit foto: ZK Racing