'HAKIM Danish Tribune' Sempena GP Malaysia 2026
Hakim Danish ketika ini mengharungi kempen Moto3 yang cukup positif apabila berjaya meraih 2 kedudukan podium termasuk 1 kemenangan di GP Republik Czech yang meletakkannya di kedudukan ke-7 carta pelumba
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/14/20261 min read


TAK dapat dinafikan pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli akan menjadi tumpuan ketika Grand Prix (GP) Malaysia yang dijadual pada 30 Oktober hingga 1 November ini.
Tampil sebagai pelumba sepenuh masa pada tahun ini, pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets MSi bakal mempunyai tempat duduk khas di bahagian Grand Stand SIC dikenali sebagai 'Hakim Danish Tribune' ketika saingan berlangsung.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata tribune khas itu adalah sebagai tanda penghargaan terhadap pencapaian luar biasa pelumba berusia 18 tahun itu dalam kempen 'rookienya' musim ini.
“Insya-Allah kita akan adakan satu tribune khas untuk Hakim Danish. Saya nak memanggil semua rakyat Malaysia datang ke GP Malaysia tahun ini. Kita meriahkan Sepang dan kita sokong wira negara kita,” kata Shafriman ketika sambutan kepulangan Hakim Danish di KLIA, hari ini.
Berdasarkan perancangan awal, tribune khas itu akan ditempatkan di kawasan Main Grandstand, dengan dua blok tempat duduk disediakan pada peringkat permulaan.
Begitupun, jumlah itu boleh ditambah sekiranya mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat dengan pengumuman lanjut mengenainya akan dibuat pada sidang media khas MotoGP September nanti," katanya.
Sementara itu, Hakim Danish mengakui terkejut apabila dimaklumkan mengenai penghargaan berkenaan dan menyifatkannya sebagai pembakar semangat menjelang aksi di laman sendiri.
"Saya pun baru tahu mengenai perkara ini. Alhamdulillah, ini satu rezeki. Ia memberi saya motivasi dan semangat tambahan untuk berlumba di Sepang nanti," katanya.

