HAKIM Danish Wakil Tunggal Malaysia Di RBMRC 2024

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/17/20241 min read

PELUMBA muda berbakat besar negara, Hakim Danish Ramli menjadi wakil tunggal yang mengibarkan cabaran Malaysia di pentas Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) musim 2024.

Seperti diketahui, Malaysia pada tahun lalu memiliki dua wakil di perlumbaan berkenaan menerusi seorang lagi pelumba berbakat, Danial Syahmi Shahril.

Begitupun nama naib juara Asia Talent Cup 2021 itu tidak berada dalam senarai pelumba RBMRC 2024 yang diumumkan, semalam.

Secara keseluruhan, seramai 26 pelumba bakal mengharungi cabaran pada musim ini.

Selain Hakim Danish, Thailand dan Indonesia turut memiliki seorang wakil di kejuaraan berkenaan masing-masing menerusi Jakkreephat Phuettisan dan juara ATC musim lalu, Veda Ega Pratama.

Musim lalu, Hakim Danish yang juga juara ATC 2022 menamatkan kempen di tangga ke-12 keseluruhan selepas mengutip 70 mata.

Sebagai info, tahun ini adalah edisi ke-18 penganjuran RBMRC. Sepanjang penganjurannya, RBMRC sudah berjaya melahirkan juara dunia termasuk dalam kelas elit MotoGP.

Tahun ini, lapan alumni RBMRC bersaing di MotoGP termasuk juara dunia 2020, Joan Mir.

RBMRC pada musim ini dijadual berlangsung sebanyak tujuh pusingan dengan ujian rasmi akan berlangsung pada 11 dan 12 April di Jerez sebelum aksi pembuka tirai juga di litar sama pada 27 dan 28 April.

Hakim Danish akan kekal nombor 13 dan berdasarkan jadual, pelumba berusia 17 tahun ini akan sekali lagi menyambut 1 Syawal di Eropah.