HAKIM Danish Yakin Dah Sedia Hadapi Buriram

Walaupun ujian pramusim di Portimao (Portugal) dan Jerez (Sepanyol) tidak begitu memberangsangkan, Hakim Danish yakin momentum terbaik sudah diperoleh untuk memulakan musim penuh pertamanya di Moto3

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/24/20261 min read

PELUMBA Moto3 negara, Hakim Danish Ramli menegaskan dirinya sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi Pusingan Pertama Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) dalam kelas Moto3 di Litar Buriram, Thailand hujung minggu ini.

Pelumba berusia 18 tahun itu berkata persediaan mental dan fizikal kini berada pada tahap optimum menjelang Grand Prix (GP) Thailand yang berlangsung dari 27 Februari hingga 1 Mac.

Walaupun ujian pramusim di Portimao (Portugal) dan Jerez (Sepanyol) tidak begitu memberangsangkan, anak jati Terengganu itu yakin momentum terbaik sudah diperoleh untuk memulakan musim penuh pertamanya di pentas dunia.

"Perasaan saya menjelang GP Thailand ini amat teruja. Persediaan fizikal dan mental saya berada dalam keadaan yang sangat baik selepas menamatkan ujian di Portimao dan Jerez.

"Walaupun masih banyak perkara yang perlu dipelajari dan diperbaiki, saya yakin mampu memberikan persembahan terbaik pada perlumbaan pembukaan di Thailand nanti.”

Hakim turut mengakui saingan Moto3 lebih mencabar dari segi teknikal jentera dan pengurusan perlumbaan. Namun, pengalaman beraksi dalam tiga perlumbaan musim lalu memberi panduan penting untuk memperbaiki aspek kritikal seperti catatan masa kelayakan dan strategi perlumbaan.

"Saingan Moto3 sangat berbeza dari segi teknikal jentera dan pengurusan perlumbaan. Namun, berbekalkan pengalaman beraksi dalam tiga perlumbaan pada tahun lalu, saya sudah mengenal pasti aspek kritikal yang perlu dipertingkatkan, khususnya mencatat masa dalam sesi kelayakan dan strategi pada hari perlumbaan.”