HAKIM Danish Yakin Hadapi Cabaran Di Aragon
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/4/20251 min read


TIADA istilah 'rehat' dalam kamus pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli yang berharap dapat melakukan kebangkitan pada penampilannya di Pusingan 3 Kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) di Motorland Aragon, Sepanyol, minggu ini.
Selepas mengharungi kempen kurang memberangsangkan di Pusingan 2 Kejuaraan Dunia JuniorGP (JrGP) di Jerez, Sepanyol minggu lalu, pelumba berusia 17 tahun itu mengalihkan fokusnya adalah untuk memperbaiki kekurangannya di kejuaraan berkenaan.
Pada Pusingan 2 JrGP minggu lalu, pelumba kelahiran Terengganu itu terpaksa berpuas hati menamatkan Perlumbaan 1 di tempat ke-9 sebelum memperbaiki kedudukannya pada Perlumbaan 2 dengan melepasi garisan penamat di tempat ke-5.
"Selepas tamat perlumbaan Pusingan 2 JrGP di Jerez, saya terus ke Barcelona untuk menjalani latihan dan membuat persiapan bagi menghadapi perlumbaan Red Bull MotoGP Rookies Cup pada minggu ini," kata Hakim Danish.
"Banyak perkara yang saya perlu perbaiki daripada perlumbaan minggu lalu, terutama pada sesi kelayakan. Tetapi, saya berasa yakin untuk bersaing di litar Aragon. Saya berharap semua peminat serta keluarga dapat mendoakan kejayaan saya."
Seperti diketahui, Hakim Danish tiba di antara litar paling ikonik dalam kalendar MotoGP, Aragon sebagai pendahulu carta kedudukan pelumba kejuaraan pembangunan bakat terkemuka dunia itu.
Bekas juara Asia Talent Cup itu ketika ini mendahului carta keseluruhan selepas mengumpul 80 mata dan meninggalkan pelumba Sepanyol, Benat Fernandez di tempat kedua dengan perbezaan 23 mata. Ia diikuti pencabar utama kejuaraan kali ini, Brian Uriarte yang juga dari Sepanyol berada di kedudukan ketiga dengan perbezaan 30 mata.
Apa yang menarik, perlumbaan di Aragon adalah antara yang paling dinanti-nantikan khususnya buat peminat tempatan kerana ia adalah gelanggang yang menyimpan kenangan manis buat Hakim Danish yang menyaksikannya muncul juara Perlumbaan 2 pada musim 2024.
Pada dua pusingan sebelum ini, Hakim Danish berjaya menamatkan keempat-empat perlumbaan yang ditawarkan di kedudukan naib juara iaitu di Jerez dan Le Mans.
Sebagai rekod, Hakim Danish menamatkan kempen keseluruhan RBMRC pada tahun lalu di kedudukan ke-6 keseluruhan.
