HANKOOK Jadi Pembekal Tayar Rasmi MCS, S1K, Dari 2024-2026

SUKAN PERMOTORAN 4 RODA

3/15/20241 min read

LITAR Antarabangsa Sepang Petronas (Petronas SIC), hari ini mengumumkan perjanjian kerjasama baharu dengan pengeluar tayar terkemuka, Hankook sebagai Pembekal Tayar Rasmi untuk dua perlumbaan Kejuaraan Siri Kejuaraan Malaysia (MCS) dan Sepang 1000km (S1K).

Perjanjian berkenaan berlangsung pada tahun ini (2024) hingga 2026.

Berdasarkan perjanjian kerjasama baharu itu, Hankook akan membekalkan tayar Hankook RS4 (Ultra high performance) kepada semua pasukan yang berlumba menggunakan rim bersaiz 15 inci di kejuaraan berkenaan.

Selain itu, syarikat pengeluar tayar Korea Selatan itu akan membekalkan tayar Hankook Z221 (Semi-slick extreme performance) kepada semua pasukan yang menggunakan rim 18 inci.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif menjelaskan kerjasama itu mewakili objektif bersama Petronas SIC dan Hankook dalam komitmen untuk menyediakan pengalaman perlumbaan berkualiti dan sekaligus meningkatkan lagi tahap kejuaraan sukan permotoran tempatan.

"Kami telah melihat peningkatan minat dan penyertaan dalam kejuaraan ini," kata Shafriman.

"Kerjasama ini turut menandakan usaha berterusan kami dalam membantu peserta untuk meningkatkan prestasi mereka di litar dan ia juga akan membuka lebih banyak pintu kepada jenama lain dalam sukan permotoran untuk menyertai kami.

"Dengan pengalaman luas Hankook dalam pelbagai jenis perlumbaan, saya tidak sabar untuk menantikan musim 2024 untuk bermula."

Sementara itu, Pengarah Urusan HK Motorsports, Hongsik Jeon berkata pihaknya teruja dengan kepulangan semula jenama itu sebagai Pembekal Tayar Rasmi MCS dan S1K.

"Kedua-dua kejuaraan ini penting dalam kalendar tahunan sukan permotoran di Malaysia dan juga rantau ini.

"Sudah bekerjasama dengan Petronas SIC dalam begitu banyak projek sejak sedekad lalu, kami sudah menyaksikan banyak kejayaan dicapai oleh litar dan penganjur.

"Kami yakin MCS dan S1K akan terus berkembang untuk menjadi platform yang penting kepada industri sukan permotoran dan positif yang Hankook akan menjadi tonggak penting kepada kejayaan itu," katanya.

Dilabel sebagai antara kejuaraan paling berjaya tempatan, kempen MCS 2024 dijadual membuka tirainya di Sepang pada 3 hingga 5 Mei ini diikuti Pusingan ke-2 pada 7 hingga 9 Jun 2024. Pusingan 3 dijadual pada 9 - 11 Ogos dan pusingan penutup tirai pada 6-8 September.

Manakala perlumbaan penutup tirai dalam kalendar kejuaraan tempatan SIC, S1K dijadual berlangsung pada 22 hingga 24 November depan.