HANWAY Motor Kini Di Malaysia, Umum Hanway Heritage 400 (2025), RM 22.8k!

TERKINIPELANCARAN

5/1/20251 min read

JENAMA motosikal asal China, Hanway Motor mengumumkan kehadirannya di pasaran Malaysia dengan penawaran pertamanya dikenali Hanway Heritage 400 (2025) yang diposisi dalam segmen 'Kruiser'.

Selain Hanway Heritage 400 (2025), pengedar jenama itu juga dijadualkan akan memperkenalkan satu lagi model iaitu Hanway Classic 400 (2025) dengan kedua-dua model akan mula memasuki pasaran tidak lama lagi.

Pada sesi tayangan kepada media, Hanway Heritage 400 (2025) diumumkan pada harga jualan menarik RM 22,800 (asas).

Justeru, ia tidak termasuk pendaftaran, insurans dan cukai jalan.

Dan penawaran harga menarik itu diperoleh berikutan Hanway Malaysia dikatakan memiliki fasiliti pemasangan sendiri yang bertempat di Puncak Alam, Selangor.

Apa yang menarik, Hanway Heritage 400 (2025) memiliki ciri di mana pelana belakang boleh ditanggalkan.

Begitupun, Hanway Classic 400 (2025) tidak memiliki ciri berkenaan dengan perbezaan lain adalah membabitkan pelana, fender selain kapasiti tangki bahan api.

Di bahagian trenkuasa, Hanway Heritage 400 (2025) dipadankan dengan enjin bersesaran 401 cc, 2 Silinder, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Menggunakan pacuan rantai, kuasa yang dihamburkan adalah 41.6 Hp @ 9,500 rpm dan tork 34 Nm @ 8,000 rpm.

Turut menggunakan trenkuasa serupa adalah Hanway Classic 400 (2025).

Menggunakan frem jenis 'cradle' keluli, sistem suspensi motosikal ini dijana fork teleskopik konvensional (depan) dan penyerap hentak berkembar (belakang)

Sistem henti pula menggunakan brek cakera kembar bersaiz 300 mm (depan) dan cakera tunggal 255 mm (belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.

Set roda pula adalah 130/90-16 (depan) dan 150/80-16 (belakang) dengan info lain adalah seperti tinggi pelana 690 mm dan panel meter bentuk bulat gabungan analog dan digital.

Untuk kapasiti tangki bahan api, model Heritage dipadankan dengan tangki 12 liter manakala 16 liter untuk Classic.

Menurut Hanway Malaysia, syarikat itu setakat ini mempunyai hampir 35 cawangan pengedar seluruh negara.