'HARAP Bukan Saya Dan Bulega Saja'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/20/20251 min read

PENYANDANG juara dunia WorldSBK, Toprak Razgatlioglu yakin dia mampu untuk menyinar pada pusingan pembukaan Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2025 di Phillip Island, Australia, hujung minggu ini.

Malah tampil dengan nada cukup yakin, pelumba kelahiran Turki itu turut berharap persaingan di Australia tidak hanya akan membabitkannya dengan pelumba Aruba.it Racing Ducati, Nicolo Bulega.

"Saya berharap lebih ramai pelumba, bukan hanya saya dan Bulega," kata Razgatlioglu ketika ditanya mengenai tahap saingan di Phillip Island memetik laporan WorldSBK.com.

"Tetapi Alvaro (Bautista) juga tidak begitu buruk di sini. Dia mungkin tidak memperoleh catatan sepusingan yang baik tetapi kelajuannya sentiasa mengagumkan.

"Dan saya fikir pada perlumbaan kita akan melihatnya. Saya berharap kami akan bersaing dengan empat, lima pelumba. Perkara ini, saya fikir akan lebih menghiburkan untuk semua orang."

Mengulas lanjut persaingan pada musim ini, pelumba pasukan ROKiT BMW Motorrad WorldSBK itu mengakui dia sudah bersedia untuk 'berjuang' dan fokusnya adalah untuk mengekalkan nombor 1 yang dipakainya.

"Tahun lalu adalah musim yang menakjubkan bagi saya," katanya. "Kini kami menggunakan nombor 1, saya perlu mengekalkannya untuk tahun depan. Ini tidak mudah kerana semua orang amat kuat, terutama kesemua pelumba Ducati dan Bulega.

"Tahun lalu dia melakukan kerja yang menakjubkan pada setiap minggu perlumbaan dan dia bermula dengan lebih kuat pada tahun ini. Tetapi saya masih berusaha dan pasukan juga sedang berusaha.

"Kita akan lihat, Kami menggunakan nombor 1, tetapi sasaran terbesar saya adalah menang kejuaraan sekali lagi kerana saya tidak pernah memenangi kejuaraan dengan nombor itu."