HARAPAN Damok Buru Gelaran Rookie Terbaik Moto3 Makin Kelam

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/11/20231 min read

KETIKA salah seorang daripada pesaing gelaran 'Rookie' Moto3 terbaik sengit bersaing merebut takhta keseluruhan kejuaraan dunia musim ini, situasi sebaliknya berlaku kepada pelumba negara, Syarifuddin Azman.

Tiba dengan sasaran - merebut gelaran rookie terbaik - musim ini, Syarifuddin atau Damok menyaksikan dirinya terus berdepan kesulitan dan sekali lagi gagal mengutip mata kejuaraan terbaharu di San Marino.

Lebih mengecewakan, pencabar gelaran Rookie terbaik itu, David Alonso dari Colombia cemerlang menjuarai perlumbaan di Misano ketika Damok melepasi garisan penamat di tangga ke-25.

Berikut adalah kenyataan pelumba pasukan MT Helmets - Msi itu seperti yang dikirimkan staf ZK Racing yang turut berada di Misano.

“Selesai perlumbaan saya. Pada hari ini (semalam) saya membuat permulaan perlumbaan yang baik, tetapi saya dihimpit oleh pelumba lain dan terkeluar daripada garisan perlumbaan.

"Pada awalnya saya cuba untuk mengejar kembali kelompok tersebut dan saya berada bersama mereka selama 5 pusingan dan selepas itu saya terputus dari kelompok dan menyebabkan saya perlu teruskan seorang diri.

"Saya kekalkan kelajuan saya. Saya hilang banyak masa di selekoh 6 kerana saya tidak boleh kendalikan jentera saya di selekoh dengan lebih baik.

"Saya harap pada perlumbaan seterusnya saya dapat mencari setting yang lebih baik pada bahagian hadapan. Jangan lupa untuk saksikan perlumbaan saya yang akan datang”

Selepas 12 pusingan perlumbaan, pelumba Sepanyol, Danial Holgado gah meminpin carta kejuaraan Moto3 2023 selepas mengumpul 161 mata diikuti Ayumu Sasaki (157 mata) dan Jaume Masia (149 mata).

Alonso yang turut memenangi perlumbaan di Catalunya sebelum ini menghuni tangga kelima keseluruhan selepas mengumpul 140 mata dengan Damok sekadar mengutip 5 mata kejuaraan keseluruhan berbaki 8 lagi pusingan.