HARGA CFMOTO 450MT (2024) Didedah, 2 Varian, RM 28,888?

TERKINI

5/20/20241 min read

SEJAK diperkenalkan di pasaran antarabangsa pada tahun lalu, motosikal dalam segmen 'Adventure touring' CFMOTO 450MT (2024) menjadi antara model yang dinanti-nantikan termasuk di pasaran tempatan.

Tampil dengan penampilan yang 'kacak', ia dijangka bakal dilancarkan sempena acara Malaysia Autoshow 2024 yang dijadual bermula 22 hingga 26 Mei ini.

Sejak perkhabaran kehadirannya dimainkan oleh pihak media termasuk MotoDotMy.com, pelbagai spekulasi timbul terutama membabitkan harga jualan dan paling menarik, ia dijangka akan diumumkan pada harga di bawah RM 30k.

Tetapi seperti tidak sabar lagi menunggu, ada pengedar jenama itu bertindak mendedahkan info yang dianggap paling penting iaitu membabitkan harga di laman web beli belah popular tempatan.

Berdasarkan penelitian, harga terendah yang ditawarkan adalah RM 28,888 dan paling tinggi RM 30,888 dan dijangka ditawarkan dalam dua pilihan varian - termasuk lengkap 'Pannier, Top box' dan 'Mud guard' panjang.

Dan selaras dengan pengumuman harganya, tempahan juga turut dibuka.

Mengulas ringkas spesifikasi mekanikal CFMOTO 450MT (2024), ia dipadankan dengan enjin bersesaran 449 cc, 2 Silinder 270° crankshaft, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC.

Digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual bersama 'Slipper clutch', kuasa yang dihasilkan adalah 44 Hp pada 8,500 rpm dan tork 44 Nm pada 6,250 rpm.

Info lain adalah seperti berikut:

  • Kapasiti tangki bahan api 17.5 liter

  • Suspensi jenama KYB (Fork USD, Mono)

  • ABS 2 Saluran (ABS belakang boleh dinyah aktif)

  • Kawalan Traksi

  • Panel meter digital 5.0 inci TFT berwarna dengan sambungan telefon pintar

  • Port pengecas 18w Type-C/A

  • Visor angin boleh laras

  • Ketinggian pelana 820 mm

  • Lega bumi 220 mm

  • Set roda 90/90-R21 (depan), 140/70-R18 (belakang)

  • Berat kering 175 kg

Jadi adakah harga yang akan diumumkan oleh CFMOTO akan sama seperti didedahkan pengedar? Kami akan laporkan kepada anda sejurus mendapat jawapannya.